TANPA kelibat bekas juara Hockademy dan Terengganu Hockey Team Ladies, tumpuan utama pasti menjurus kepada dua pasukan pilihan – PKS Uniten-KPT dan pendatang baru UniKL Ladies — apabila saingan Liga Hoki Wanita Malaysia (MWHL) 2021 membuka tirai esok (15 Mac) di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Bekas juara liga, PKS-UNITEN-KPT, yang juga juara Piala Vivian May Soars tahun lepas, dan UniKL Ladies dijangka menjadi “watak utama” dalam perebutan takhta musim ini yang dianjurkan di bawah norma baru Kesatuan Hoki Malaysia (MHC).Â
Jika pencapaian lepas menjadi ukuran, tentunya PKS-Uniten KPT berada pada kedudukan tersendiri, apatah lagi sudah sekian lama bergelumang dan dilabel antara pilihan utama dalam liga.Â
Begitu pun, di sebalik label pendatang baru, UniKL Ladies yang dikendalikan Roslan Jamaluddin, seharusnya tidak dipandang remeh oleh pasukan lain terutama apabila dibarisi tujuh pemain kebangsaan.  Antaranya termasuk Nuraini Abd, Nur Atira Mohamad Ismail, Nur Afiqah Syahzani Azhar, Hanis Nadiah Onn, Khairunnisa Ayuni Sharuddin dan Nuramirah Shakirah Zulkifli.Â
Kejayaan cemerlang musim lepas oleh skuad lelaki UniKL, yang juga berjaya mempertahankan Piala Sumbangsih pada Jumaat lepas, pasti hadir sebagai pembakar semangat untuk UniKL Ladies menuruti jejak UniKL menggegar liga musim ini.Â
PKS Uniten-KPT pula, sudah pasti tidak mahu melepaskan peluang keemasan dari ketiadaan dua pasukan utama musim lepas Hockademy dan Terengganu Hockey Team (THT) Ladies untuk membolot kedua-dua piala.
Bukan menidakkan keupayaan skuad lain termasuk UniKL Ladies atau skuad muda Young Tigress, namun pencapaian dan prestasi konsisten skuad PKS Uniten bimbingan bekas pemain kebangsaan Lailin Abu Hassan  itu seharusnya memberi kelebihan untuk meraih kejayaan berganda musim ini.Â
Antara pemain kebangsaan yang bakal mengemudi cabaran PKS Uniten KPT termasuk Nur Insyirah Effarizal, Raja Norsharina Raja Shabuddin, Nur Hafizah Maznan, Kirandeep Kaur, Nurul Faezah Shafiqah Khalim, Nurul Fatin Fatiah Azman, Siti Nur Arfah Mohd Nor, Siti Zulaikha Husain dan Nurmaizatul Hanim Syafi Sheik Fuad.
Dalam pada itu, barisan skuad pembangunan muda MHC Young Tigress, mahu menggunakan sepenuhnya peluang bermain buat kali pertama dalam MWHL untuk mengasah kemampun pemain sebagai persediaan menghadapi beberapa tugasan antarabangsa penting.Â
“Young Tigress merupakan skuad pembangunan untuk jangka panjang. Pastinya, misi kami berlainan… MWHL kali ini amat berguna untuk memberikan pemain satu platform yang kompetitif untuk menilai keupayaan mereka setakat ini. Lebih banyak latihan taktikal serta mental,’ kata beliau. Â
MHC Young Tigress bimbingan A. Kannagi turut diperkuat dengan beberapa pemain kebangsaan termasuk penjag gol Fitri Nur Amiera Ramlee, Mashitah Ab Khalid, Nur Shazwani Zakaria, Dayang Nuramirah Abang Mahadani dan Anis Nurfatihah Asmidee.
Bagi pasukan PDRM Blue Warriors, yang meraih tiga kejuaraan liga pada 2016, 2017 dan 2019 dan Piala Vivian May Soars pada 2018, kejayaan musim ini amat ditagih terutama dengan kehadiran lima pemain kebangsaan dalam skuad.Â
Dua lagi pasukan yang terbabit dalam saingan satu pusingan MWHL 2021 termasuk Pasukan ialah Sabah dan Mutiara Juniors PSHA.Â
PASUKAN MWHL 2021:Â
PKS UNITEN-KPT • PDRM BLUE WARRIORS • SABAH • MUTIARA JUNIORS PSHA • UniKL LADIES • YOUNG TIGRESS
JADUAL PERLAWANAN:Â Isnin, 15 Mac 2021:
Mutiara Junior PSHA mln UniKL Ladies (6.00 pm) NHS 2
PDRM Blue Warriors mln PKS-Uniten KPT (8.00 pm) NHS 2
Sabah mln Young Tigress (8.00 pm) NHS 1