“Kita kena berwaspada dengan kualiti Kedah yang sentiasa boleh jaringkan pada bila-bila masa terutama di minit terakhir permainan jika tidak mahu kecewa dalam perlawanan itu nanti, ” demikian kata penjaga gol Perak FC, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy menjelang aksi kedua-dua pasukan di Stadium Perak, Ipoh, pada Sabtu.
Perkara itu menjadi perhatian Hafizul selepas melihat Kedah Darul Aman (KDA) FC yang sentiasa menjadi ‘cencaru makan petang’ apabila pernah mengecewakan Selangor FC 2-1 pada perlawanan ketujuh Liga Super melalui dua jaringan dalam tempoh 10 minit terakhir oleh Kpah Sherman serta Tchetche Kipre.
Selain itu, KDA juga pernah mengikat Penang FC,1-1 melalui gol penyamaan pada minit-86 oleh Kpah Sherman selain kemenangan 3-1 ke atas PJ City FC, 17 Mac lalu.
Tambahnya, faktor itu dibantu KDA mempunyai banyak pilihan di jentera serangan selain Kpah dan Tchetche, mereka turut dibantu Fayadh Zulkifli dan Azamuddin Akil yang sentiasa memberikan kekuatan tambahan pada 15 minit terakhir permainan.
“ Kedah sememangnya dari tahun lepas adalah lawan yang boleh menjaringkan gol pada tempoh lewat permainan dan kami masih ingat tewas kepada mereka selepas melakar kebangkitan daripada ketinggalan dua gol.
“ Namun mereka masih berjaya bangkit menjaringkan gol di babak kedua dan kami tewas 2-3, jadi aspek ini perlu diberikan perhatian di mana bukan saya sahaja tetapi seluruh rakan sepasukan harus pertingkatkan fokus sehingga wisel terakhir permainan.
“ Kedah pasti akan datang dengan gaya permainan menyerang kerana sudah tentu mereka mahu mengejar kedudukan teratas bagi meneruskan saingan merebut kejuaraan dan kita perlu perbaiki kesilapan-kesilapan lepas jika mahu meraih tiga mata, ” katanya,
Hafizul yang beraksi untuk musim keenam bersama Perak mengakui musim ini menjadi antara detik paling mencabar tetapi masih meletakkan harapan membawa The Boss Gaurus berada dalam kelompok empat terbaik di Liga Super.
“ Sebelum musim bermula, semua orang meletakkan harapan untuk berada dalam tiga terbaik tetapi selepas lalui lapan perlawanan ini, saya akui segalanya agak sukar buat kami.
“ Namun, jika saya dan rakan-rakan boleh pertingkatkan prestasi serta bangkit dalam beberapa perlawanan yang akan datang, saya rasa masih belum mustahil buat kami mengejar kelompok empat terbaik, ” katanya.
Sementara itu, ketua jurulatih Perak FC, Chong Yee Fatt, mengesahkan yang dia kehilangan empat pemain termasuk ketua pasukan, Shahrul Saad yang masih belum pulih daripada
kecederaan hamstring selain Sergio Aguero, Firdaus Saiyadi dan Farhan Roslan.
Biarpun sedikit bimbang untuk berdepan KDA FC terutama di bahagian pertahanan, Yee Fatt masih menaruh perhatian yang pemain-pemainnya mampu berikan saingan dan seterusnya meraih keputusan positif di Stadium Perak.
“ Saya akui bahagian serangan KDA FC antara yang terbaik di Liga Super namun saya masih percaya gandingan Shakir Hamzah dan Idris Ahmad yang gantikan tempat Shahrul kerana ini sahaja pilihan yang ada pada masa sekarang.
“ Memang tidak dinafikan skuad ini ada masalah dengan konsistensi kerana bukan semua perlawanan kami boleh bariskan pemain terbaik ekoran masalah kecederaan serta penggantungan.
“ Selain jadual perlawanan yang rapat membuatkan saya perlu melakukan rotasi pemain, saya akui tidak banyak pilihan dalam kalangan pemain sedia ada.
“ Namun sikap pemain yang sentiasa positif dan komitmen yang ditunjukkan dalam tiap perlawanan, membuatkan saya berpuas hati setakat ini dengan mereka, ” katanya.
Selain aksi Perak FC dan KDA FC, satu lagi pertemuan yang berlangsung pada Sabtu ialah antara Sabah FC dan UiTM FC di Stadium Likas.
Manakala dua perlawanan pada Ahad ialah membabitkan Melaka United FC dan Selangor FC di Stadium Hang Jebat selain PJ City FC serta Penang FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.