Ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain berharap pasukannya mampu mengelak daripada terus tercicir mata tatkala mereka ketika ini semakin konsisten mendaki kedudukan Liga Super untuk berada di tangga kedua selepas menewaskan Selangor FC 2-1, semalam.
Mengakui perlawanan yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bukan mudah pada saat skuad kendalian Karsten Neitzel mendahului lebih awal menerusi gol penalti yang disempurnakan oleh Ifedayo Omosuyi, Nafuzi memuji usaha keras anak buahnya yang tidak mengalah untuk kembali bangkit pada minit-minit akhir.
Kemenangan tersebut nyata merapatkan lagi jurang Terengganu dengan pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan perbezaan tiga mata dan jurulatih kelahiran Kelantan ini mahu prestasi sebegini kekal kerana sedikit kesilapan akan memberi ruang kepada pasukan lain terutamanya, Kedah Darul Aman FC memintas kedudukan mereka.
“Peluang sekarang lebih terbuka apabila dibezakan tiga mata dengan pendahulu dan bagi saya, setiap pasukan memang mengimpikan untuk menjadi juara.
“Dengan skuad yang kita ada sekarang, bagi saya ini adalah yang terbaik terutamanya pemain-pemain muda, cuma paling penting adalah konsisten kerana kalau kita tengok, Terengganu ni kadang-kadang beraksi baik, kadang-kadang tidak.
“Jadi, fokus perlawanan demi perlawanan untuk kita kekal dengan keputusan terbaik, kerana apabila kita meraih kemenangan, automatik pasukan akan sentiasa berada di atas.
“Tahniah untuk semua pemain termasuk pemain-pemain simpanan yang dimasukkan untuk mereka serap tekanan yang ada dan akhirnya meraih gol kemenangan pada saat akhir,”katanya.
Sementara itu, di Stadium Perak, Sri Pahang FC berjaya keluar dari zon penyingkiran apabila meraih tiga mata menewaskan Perak FC dengan keputusan 3-1.
Ternyata, kehadiran empat pemain import baharu yang berada dalam kesebelasan utama semalam memberi derita kepada benteng lawan apabila jaringan tersebut hadir daripada Aung Kaung Mann dan dua lagi menerusi Kenny Athiu.
Pengendali Pahang, Dollah Salleh bagaimanapun berkata, pasukan tidak boleh bersikap sambil lewa selepas ini dan tempoh masa dua bulan Liga Malaysia berehat akan memberi fokus kepada pemain baharu ini untuk mencipta keserasian yang lebih baik bersama pemain lain.
“Tiga mata ini cukup penting untuk kita kerana mula-mula kita sasarkan untuk raih sembilan mata dalam tiga aksi terdahulu, tetapi kita peroleh tujuh mata dan itu juga memadai kerana saya sudah nampak perbezaan lebih baik berbanding ketika berdepan Selangor.
“Memang nampak ketara apabila import baharu ini beraksi cuma apabila kita mendahului, minit-minit akhir pemain saya sedikit ambil mudah sehingga lawan berjaya meraih gol.
“Keseluruhan memang saya berpuas hati apa yang ditampilkan oleh empat pemain import ini dan juga pemain-pemain lain yang bertungkus-lumus,”tambahnya.
Keputusan lain menyaksikan Melaka United FC dan PJ City FC masing-masing membawa pulang satu mata sahaja apabila perlawanan berakhir tanpa jaringan.
Berakhir 13 perlawanan secara keseluruhan, saingan Liga Malaysia akan kembali bersambung pada Julai depan bagi memberi laluan kepada aksi skuad kebangsaan.