Masa depan Sukan SEA 2021 tampak semakin ‘malap’ apabila tuan rumah, Vietnam meminta selewat lewatnya dua minggu untuk memutuskan nasib temasya terbesar di rantau Asia Tenggara yang memasuki edisi ke 31.
Mesyuarat melibatkan Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) dan 11 negara termasuk Vietnam telah diadakan pada hari ini yang lebih menumpukan tentang status penganjuran sukan SEA 2021.
Tuan rumah tampak masih ragu ragu untuk membuat kata putus dan meminta sehingga 8 Julai depan untuk membuat keputusan.
Isu penundaan temasya Sukan SEA telahpun dibincangkan pada mesyuarat terdahulu dua minggu lalu namun ia ditentang majoriti negara negara bertanding termasuk Malaysia.
Hanya Vietnam dan Myanmar sahaja yang bersetuju untuk menunda temasya Sukan SEA sementara Laos memilih untuk tidak memberi sebarang jawapan
Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Vietnam menjelaskan penularan pandemik Covid 19 di bandar hanoi dan 11 lagi lokasi yang terlibat sebagai venue pertandingan telah menjejaskan keseluruhan aspek persiapan mereka.
Namun wakil Vietnam menambah, segala keputusan terletak di tangan kerajaan pusat Vietnam berdasarkan keadaan semasa di negara itu.
Sukan SEA 2021 dijadual berlangsung dari 23 November hingga 2 Disember