Atlet terjun negara, Cheong Jun Hoong akan beraksi di temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) melakukan pusingan ‘u’ apabila badan induk renang dunia dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) membatalkan keputusan mereka sebelum ini dan memasukkan 18 penerjun terbaik dalam acara platform 10 meter (m) individu wanita kejohanan Piala Dunia Terjun FINA 2021 ke Olimpik.

Keputusan tersebut dimaklumkan kepada Persatuan Renang Malaysia (MS) semalam menerusi emel daripada FINA

Keputusan itu turut mendapat reaksi positif Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang mengucapkan terima kasih kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan MS yang berusaha untuk memastikan atlet terjun negara dapat beraksi di Tokyo 2020.

Jun Hoong, 31, akan menyertai empat penerjun wanita negara yang terlebih dahulu layak ke Olimpik iaitu Pandelela Rinong Pamg (10m platform individu dan 10m platform seirama), Nur Dhabitah Sabri  (3m papan anjal individu), Wendy Ng Yan Yee (3m papan anjal individu) dan Leong Mun Yee (10m platform seirama).

Rabu lalu, MS mengesahkan Jun Hoong terlepas peluang untuk ke Olimpik selepas FINA memutuskan hanya membenarkan 15 penerjun bagi acara platform 10m individu wanita dalam kejohanan Piala Dunia Terjun FINA layak ke temasya sukan terbesar di dunia itu.

Di kejohanan itu, Jun Hoong menamatkan saingan separuh akhir acara 10m platform individu wanita pada kedudukan terakhir, namun mengesahkan tempat ke Olimpik apabila berada dalam kelompok 18 penerjun terbaik kejohanan itu untuk mengisi slot ke Tokyo sebelum FINA membuat keputusan membenarkan 15 penerjun terbaik ke Olimpik.

 

- Advertisement -