Pemain badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mempunyai peluang cerah untuk mara ke pusingan seterusnya apabila undian peringkat kumpulan Olimpik Tokyo yang diadakan semalam, memihak kepadanya.
Zii Jia, pemain pilihan kesembilan dan juara All England 2021 itu diundi dalam Kumpulan M bersama-sama dua pemain Eropah, iaitu Brice Leverdez dari Perancis dan Artem Pochtarov dari Ukraine.
Dalam kategori beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik diundi dalam Kumpulan D dengan pilihan nombor dua dari Indonesia Hendra Setiawan-Mohammad Ahsan, Choi Solgyu-Seo Seungjae dari Korea, dan pasangan Kanada Jason Anthony Ho-Shue/Nyl Yakura.
Pemenang pingat perak Rio 2016 beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying diundi dalam Kumpulan D bersama pemenang pingat gangsa Kejohanan Dunia 2019 dan pilihan kedua dari China Wang Yi Lyu-Huang Dong Ping, Mark Lamfuss-Isabel Hettrich dari Jerman dan Tang Chun Man-Tse Ying Suet dari Hong Kong.
Sementara, pemain perseorangan wanita Soniia Cheah diundi dalam Kumpulan N dengan pilihan kelima dari Thailand, Ratchanok Intanon dan Laura Sarosi dari Hungary.
Bagaimanapun, laluan sukar bakal menanti pasangan beregu wanita negara, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean apabila mereka diundi dalam Kumpulan A bersama pilihan pertama, Sayaka Hirota-Yuki Fukushima dari Jepun, Apriyani Rahayu-Greysia Polii dari Indonesia dan Chloe Birch-Lauren Smith dari Great Britain.
Pertandingan badminton akan bermula pada 24 Julai-2 Ogos di Musashino Forest Sport Plaza.
Olimpik Tokyo akan diadakan bermula dari 23 Julai-8 Ogos. – BERNAMA