PERAK melonjak ke tangga teratas Kumpulan A apabila mencatat kemenangan kedua mengetepikan PDRM 2-0 pada saingan hari ketiga Kejohanan Hoki Piala Tun Abdul Razak (Lelaki) 2021 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil hari ini.

Biarpun diberikan tentangan sengit, Perak yang cemerlang menumpaskan Sabah 5-0 sebelum ini, memastikan kedudukan teratas menerusi jaringan Ariff Sabron dan Mohamad Arif Roslan.

Jaringan Ariff pada minit ke-22 tampak seperti satu-satunya gol bagi Perak tetapi Mohamad Arif berjaya melebarkan jaringan empat minit sebelum permainan tamat menerusi pukulan reverse untuk melengkapkan kemenangan 2-0 Perak. 

PDRM cuba bangkit tetapi percubaan untuk masuk ke dalam kawasan D sering dipatahkan oleh barisan pertahanan Perak.  Perak melengkapkan kempen peringkat Kumpulan berdepan Selangor pada Ahad ini. 

Ketua pasukan Perak, Shazrul Imran Nazli berkata,  biarpun menganggap sudah selangkah di suku akhir, namun pemain perlu mengekalkan prestasi apabila bertemu Selangor pada perlawanan terakhir nanti.

“Biarpun dianggap sudah dalam kedudukan selamat, saya harap semua pemain dapat kekalkan momentum yang ada sekarang untuk pastikan kita terus berada di tahap tertinggi,” kata beliau.  

Selangor pula menghidupkan peluang merebut tempat ke pusingan seterusnya selepas menumpaskan Sabah 3-1 pada satu lagi perlawanan di Padang 2. 

Selepas mengalami kejutan tewas 1-3 di tangan PDRM sebelum ini, Selangor bangkit dengan semangat baru untuk memastikan tiga mata penuh menjadi milik mereka menerusi jaringan awal Muhd Fahmi Zaharman pada minit ke-6.

Zarreman Shamier Sulaiman melebarkan jaringan enam minit sebelum separuh masa pertama sebelum Mior Mohammad Fikri Zarisham melengkapkan kemenangan buat Selangor pada minit ke-56.

Jurulatih Selangor Prakash Subramanian lega dengan kebangkitan semula pasukannya setelah tewas pada perlawanan pertama: “ Masih ada ruang yang perlu diperbaiki apabila berdepan Perak nanti. Atas kertas nampak sukar dan kami akan tampil dengan strategi terbaik untuk saingi mereka Ahad ini,” kata beliau. 

Dalam pada itu, Muhammad Azreen Mustama memastikan kemenangan tipis ATM apabila menjaringkan gol tiga minit sebelum wisel penamat untuk menumpaskan Pahang 2-1 dan mengukuhkan kedudukan dalam Kumpulan C. Kemenangan itu meletakkan ATM di kedudukan dua teratas pada bersama Kuala Lumpur dengan enam mata.

Begitupun, ATM terlebih dahulu dikejutkan dengan jaringan penyerang Pahang Muhammad Idris Samad pada minit ke-21 menerusi percubaan penalti sudut.  ATM meningkatkan tempo permainan dengan gerakan  pantas untuk membolosi pertahanan Pahang. Dua minit selepas separuh masa, Muhammad Izwan Muhammad Noor menggegar gawang Pahang sebelum Muhammad Azreen memastikan kemenangan mutlak dan tiga mata penuh buat ATM.

Dua pertembungan menentang Pulau Pinang dan Kuala Lumpur selepas ini pasti menjadi cabaran hebat buat ATM untuk memastikan tempat ke suku akhir. 

Jurulatih ATM, Mohd Hanip Che Halim nyata gembira dengan prestasi pemain walaupun gerakan yang agak kucar kacir pada tiga suku pertama.“Pada suku keempat, saya ambil keputusan tukar momentum dan bermain dengan intensiti tinggi, nyata ia berhasil.”

Negeri Sembilan pula meraih kemenangan besar 5-1 ke atas Perlis sekaligus meletakkan pasukan  bimbingan S. Velappan di kedudukan teratas Kumpulan B. 

Dua gol jaringan Azimuddin Syakir Kamaruddin pada minit ke-23 dan 24 membantu menjulang kejayaan Negeri Sembilan manakala Muhammad Faiq Nazwan Mohd Azhar (minit ke-18), M. Saravanan (minit ke-51) dan Shahmie Irfhan Suhaimi (minit ke-58) masing-masing menyumbang satu gol untuk kemenangan besar Negeri Sembilan. 

Negeri Sembilan bakal berdepan tugas sengit apabila bertembung dengan bekas juara Melaka dan Terengganu pada baki perlawanan kumpulan mereka. 

Jurulatih Negeri Sembilan, S. Velappan: “Biarpun tidak bermain mengikut struktur yang ditetapkan pada awal permainan, kami berjaya memastikan peluang-peluang dapat disempurnakan. 

Untuk layak ke pusingan seterusnya, tugas sukar menanti apabila berdepan dua pasukan pilihan Melaka dan Terengganu. “Kami akan pastikan dapat memperbaiki segala kesilapan selepas ini, terutama struktur dan taktikal permainan, terutamanya di bahagian tengah,” kata beliau. 

JADUAL PERLAWANAN (Sabtu, 13/11/21) 

LELAKI

Kumpulan C (4.00 ptg)

NHS 1: P.Pinang  mln Kelantan

NHS 2: Kuala Lumpur mln Pahang

Kumpulan B (6.00 ptg) 

NHS 1: Perlis mln Terengganu

NHS 2: Melaka mln Kedah

- Advertisement -