Selepas dua tahun tanpa pertandingan bola sepak di peringkat amatur susulan pandemik COVID-19 yang melanda negara, Liga M3 dan Liga M5 bagi musim 2022 dijadual bermula pada Februari dan Mac depan.

Sementara, Liga M4 pula diberi nafas baharu di mana Pertandingan hanya akan bermula dan terbentuk pada 2023 melalui pasukan relegasi Liga M3 2022 dan pasukan promosi Liga M5 2022.

Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi AFL, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi pada sidang media selepas mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah AFL ketiga di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Datuk Wira Mohd Yusoff berkata, struktur terbaharu AFL di dalam arena bola sepak amatur di Malaysia akan berkuat kuasa serta-merta selain bakal melancarkan musim 2022 pada Januari tahun hadapan.

“Menerusi struktur terbaharu ini, AFL berazam untuk membawa liga amatur yang terdiri daripada pasukan-pasukan amatur di setiap negeri ke tahap yang profesional sekali gus memberi peluang untuk mereka (pasukan) membuktikan kebolehan pemain amatur bersaing di samping pemain-pemain profesional.

“Selain itu, AFL mahu mengembalikan kegemilangan bola sepak Malaysia menerusi pelaksanaan pertandingan yang tersusun serta sihat selain memperbaiki aspek pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi,” kata beliau.

Turut hadir pada sidang media berkenaan ialah Ahli Lembaga Pengarah AFL, Datuk Kamarudin Haji Hassan dan Syed Yazid Syed Omar serta wakil penaja-penaja AFL, Ketua Pengguna dan Penjualan Extra Joss, Asep Dasuki dan Pengarah Kelme Malaysia, Choong Wai Tuck.

“Kami di AFL sangat mengalu-alukan cadangan penambahbaikan terhadap sistem liga amatur di Malaysia dan besar harapan saya agar sokongan terhadap liga amatur di Malaysia ini dapat dizahirkan daripada pelbagai pihak terutama sekali dari pihak penaja,” ujar Datuk Wira Mohd Yusoff.

Datuk Wira Mohd Yusoff yang juga Timbalan Presiden FAM turut meluahkan penghargaan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Malaysian Football League (MFL) atas sokongan yang telah dizahirkan kepada badan bola sepak amatur itu sejak 2018.

“Mewakili pihak AFL, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menzahirkan ucapan terima kasih kepada Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin serta Presiden MFL Dato’ Ab Ghani atas sokongan mereka terhadap liga amatur Malaysia selama ini.

“Saya berharap agar kerjasama di antara AFL dan FAM serta MFL dapat diteruskan di masa hadapan sekali gus membawa bola sepak negara ke arah masa hadapan yang lebih cemerlang,” tambah beliau.

Liga M3 menyasarkan penyertaan sebanyak 20 pasukan bagi tahun 2022 yang mana barisan pasukan bertanding akan dibahagikan kepada dua kumpulan dan perlawanan akan dijalankan secara timbal balik.

Empat pasukan teratas bagi kedua-dua kumpulan akan mara ke Suku Akhir Liga M3 2022 dan format perlawanan kalah mati dua pusingan akan digunakan pada pentas akhir pertandingan yang dijadualkan pada September 2022 di venue neutral yang mana dua pasukan teratas berpeluang untuk dipromosi ke Liga Premier 2023 anjuran MFL.

Manakala Liga M5 2022 bakal dilancarkan oleh AFL seawal Mac 2022 selain menjalankan usahasama bersama Persatuan Bola Sepak negeri serta badan-badan penganjur yang berkaitan.

- Advertisement -