MSNS/PHS mengungguli kejuaraan Liga Divisyen 2 selepas menumpaskan Kedah Eagle Junior 3-1 pada saingan final di Stadium Hoki Nasional hari ini.
Dua jaringan penjaring terbanyak (14 gol) liga, Muhammad Salman Sudirman pada suku pertama dan kedua membantu menjulang kejayaan MSNS/PHS yang sebelum ini cemerlang dengan memenangi kesemua tujuh perlawanan liga.
Muhammad Izaz Afdhaal, penjaring ketiga terbanyak dengan 6 gol, memastkan kemenangan mutlak barisan dari Sabah itu dengan gol pada minit ke-34.
Kedah Eagle Junior cuba bangkit untuk merapatkan jurang tetapi ternyata, sukar menyaingi corak permainan pantas serta ketahanan fizikal MSNA/PHS.
Skuad Kedah itu terpaksa berpuas hati sekadar gol saguhati penyerang utamanya Mohammad Haikal Hakimi Mohamad Azlan pada minit ke-37.
Kedua-dua pasukan sudah pun layak ke suku akhir saingan Piala TNBMHJL yang bermula esok.
Selaku juara Divisyen 2 , MSNS/PHS bertemu AHP-SSP- MSP Thunderbolts manakala Kedah Eagle Junor diundi berdepan juara Divisyen 1 BJSS Thunderbolts pada suku akhir.
Selepas kejayaan menjuarai Divisyen 2, jurulatih Sabah Hasrul Jideh berkata anak buahnya sudah bersedia menghadapi saingan lebih sukar pada suku akhir TNBMHJL esok (27 Disember).
“Sepanjang saingan liga, berjaya mengekalkan konsistensi dan bermain baik. Hanya pada separuh akhir, saingan dan tentangan agak sengit tetapi kami lega kerana dapat juga melepasi segala halangan untuk catat kejayaan hari ini,”kata beliau.
Berdepan pasukan AHP-SSP-MSP Thunderbolts, Hasrul berkata mereka bersedia menentang lawan dari Divisyen 1 yang dianggap lebih pantas dan mantap.
“Memang masa rehat tak banyak, tetapi kami sudah pernah berjumpa skuad Pahang, mereka memang bagus baik di pertahanan, serangan mahupun sudut penalti. Tetapi kami akan pastikan beri saingan hebat,” kata beliau.
Sementara itu, dalam saingan tempat ketiga dan keempat, MSSPP-PSHA memastikan kedudukan ketiga Divisyen 2 apabila menumpaskan MBPJ Black Widow 2-1.
Jaringan penalti sudut Gobind Singh Khalsa (minit ke-28) dan penalti stroke dari Putera Ahmad Syahmie Ahmad Aswad (minit ke -51) memastikan kemenangan MSSPP-PSHA manakala MBPJ merapatkan jurang jaringan menerusi Aiman Haqim Badrulhisham.
Suku akhir esok membariskan BJSS menentang bertemu Kedah Eagle Jr, SMKDBL-PHJ melawan MBPJ Tigers, penyandang juara SSTMI Thunderbolts membuat perhitungan menentangAnderson Thunderbolts manakala AHP-SSP- MSP Thunderbolts melawan MSNS/PHS.