Setelah melalui detik yang suram pada 2020, saingan Liga Malaysia musim ini kembali bersinar apabila saingan Liga Super dan Liga Premier dapat dilangsungkan lengkap sebanyak dua pusingan selain kejohanan TM Piala Malaysia.

Walaupun berdepan sedikit cabaran tentang larangan kemasukan penonton yang dikenakan sekali lagi pada 9 Mei hingga 29 September selepas kebenaran diberikan Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 2 April, kemeriahan Liga Malaysia tidak pernah pudar dengan kemuncaknya ialah semasa perlawanan akhir TM Piala Malaysia pada 30 November.

Hanya saingan Piala FA dan Challenge Cup masih belum dapat diteruskan buat tahun kedua berturut-turut ekoran kekangan masa dan faktor kewangan berdasarkan impak pandemik COVID-19.

Johor Darul Taā€™zim (JDT) menetapi ramalan apabila muncul juara Liga Super buat kali kelapan berturut-turut sementara Negeri Sembilan FC dinobatkan selaku juara Liga Premier, mengulangi kejayaan 30 tahun lalu.

Kuala Lumpur City FC pula mencipta sejarah menamatkan penantian 32 tahun untuk bergelar juara TM Piala Malaysia selepas mengejutkan juara bertahan, JDT dengan kemenangan 2-0 di pentas akhir.

Kekuatan di jentera serangan yang meledak 50 gol dan keampuhan barisan pertahanan yang sekadar melepaskan sembilan jaringan menjadi formula di sebalik kejayaan JDT di pentas Liga Super.

Walaupun tewas di pentas final TM Piala Malaysia, JDT masih dianggap sebagai sebuah pasukan yang masih dominan di Liga Malaysia selepas beraksi konsisten hampir keseluruhan sepanjang musim ini.

Menurut bekas penjaga gol kebangsaan dan penganalisis Liga Malaysia, Syed Adney Syed Hussein, beliau melihat barisan berkualiti dan besar menjadi antara ramuan utama JDT yang berjaya memenangi Liga Super 2021 dengan kelebihan 14 mata ke atas pencabar terdekat, Kedah.

ā€œ Saya rasa JDT mempunyai skuad besar di mana ramai pemain berkualiti yang menunjukkan mereka mempunyai pelan jangka masa panjang dalam Liga Malaysia.

ā€œ Contohnya kalau ada kecederaan, mereka sentiasa ada pemain yang mempunyai kualiti hampir sama untuk dibawa masuk ke dalam kesebelasan utama dan saya tidak terkejut apabila JDT menang Liga Super untuk musim ini.

ā€œ Cuma saya terkejut apabila mereka tewas dengan Kuala Lumpur City FC(final TM Piala Malaysia 2021) malah saya rasa Kuala Lumpur dan Penang FC adalah dua pasukan Liga Super yang saya tidak jangka mereka boleh bangkit dalam saingan liga di mana Penang di tangga ketiga dan Kuala Lumpur di tangga keenam.

ā€œ Selain itu, kita dapat lihat juga kejutan seperti pasukan Perak FC di mana mereka jatuh ke Liga Premier dan Sri Pahang FC juga satu pasukan yang kita jangkakan mereka dapat beri saingan tetapi hampir-hampir juga tersingkir, saya harap pasukan seperti Sri Pahang boleh dapatkan balik momentum mereka untuk musim depan,ā€ katanya.

Sementara itu, pemain muda Johor Darul Taā€™zim (JDT), Arif Aiman mencuri perhatian peminat bola sepak negara apabila dinobatkan Pemain Paling Bernilai (MVP) di Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2021 selain turut memenangi Penyerang Terbaik dan Pemain Muda Terbaik.

Beberapa pemain JDT turut menguasai ABK 2021 dengan Farizal Marlias menguasai gelaran Penjaga Gol Terbaik buat kali keempat berturut-turut sementara Matthew Davies muncul Pertahanan Terbaik.

Pemain berpengalaman Kedah Darul Aman FC, Baddrol Bakhtiar kembali mendakap gelaran Pemain Tengah Terbaik yang dimenanginya pada 2017 manakala penyerang Kuala Lumpur City FC, Romel Morales menggondol anugerah Pemain Import Terbaik.

Pengiktirafan Arif Aiman dipersetujui seorang lagi penganalisis Liga Malaysia yang juga bekas pertahanan kebangsaan, Shahrom Kalam yang berkata pemilihan itu adalah tepat.

Dalam masa sama, beliau turut menyenaraikan beberapa pemain seperti pemain tengah Penang FC, Khairu Azrin Khazali dan penjaga gol Kuala Lumpur City FC, Kevin Ray Mendoza yang dianggap antara pemain patut diberi pujian kerana mempamerkan persembahan cukup konsisten sepanjang musim ini.

ā€œ Sejujurnya saya sangat setuju Arif menjadi MVP kerana melihat apa yang dia sumbangkan kepada JDT, Arif ini seorang pemain yang sangat berbakat dan punyai kematangan mengagumkan biarpun baharu berusia 19 tahun.

ā€œ Ramai tertanya bagaimana dia boleh mengambil tempat Safawi Rasid dalam kesebelasan utama JDT sejak dari aksi liga sebelum dia terus konsisten kekalkan tempat hinggalah final TM Piala Malaysia, memang betul dia selayaknya diberi anugerah MVP.

ā€œ Dalam masa sama, ada dua pemain yang saya rasa agak ā€˜underratedā€™ iaitu Khairu Azrin dari Penang dan Kevin Ray Mendoza, penjaga gol Kuala Lumpur City.

ā€œ Bagi saya, kehadiran Khairu Azrin menjadi antara faktor utama di sebalik kejayaan Penang meraih tanpa ketiga Liga Super kerana dia berjaya menyeimbangkan bahagian serangan dan pertahanan pasukan.

ā€œ Tanpanya yang alami kecederaan semasa saingan TM Piala Malaysia, Penang cukup bergelut dan gagal melangkah jauh, Khairu Azrin sepatutnya mungkin sudah boleh sertai skuad kebangsaan.

ā€œ Begitu juga Kevin yang bagi saya menjadi penyumbang terbesar di sebalik rekod Kuala Lumpur tidak tewas di gelanggang sendiri sepanjang musim ini.

ā€œ Ramai tidak nampak prestasinya yang cemerlang terutama dalam aspek ketenangan dan bijak mengemudi benteng dalam memberikan arahan kepada barisan pertahanan, ā€ katanya.

Menyentuh perjalanan Liga Malaysia 2021, Shahrom gembira memerhatikan lambakan pemain muda yang semakin berjaya mencuri tempat dalam kesebelasan utama dalam kebanyakan pasukan.

Baginya, itu satu petanda positif kepada perkembangan bola sepak tanah air berikutana ramai antara mereka sudah berjaya mengetuk tempat dalam pasukan kebangsaan serta selaras dengan tuntutan bola sepak moden yang mengamalkan corak permainan pantas.

ā€œ Saya sebenarnya begitu teruja melihatkan kehadiran pemain muda seperti Shahrul Nazeem (Selangor), Quentin Cheng (Penang FC) dan Azam Azmi (Terengganu FC) yang diberi peluang bermain dalam skuad utama.

ā€œ Jika dahulu rasanya sukar untuk kita melihat pemain muda menembusi dalam barisan 11 pemain namun sekarang tidak lagi dengan jurulatih berani berikan peluang.

ā€œ Ini mampu berikan galakan dan seterusnya pemain muda menunjukkan keupayaan masing-masing dan semakin ramai antara mereka berjaya dipanggil bersama skuad kebangsaan, ā€ katanya.

- Advertisement -