Skuad B-23 kebangsaan kendalian Brad Maloney telah diundi bersama juara bertahan Indonesia, Myanmar dan Laos pada saingan Kejuaraan B-23 AFF 2022 yang dijadual berlangsung di Phnom Penh, Kemboja dari 14 hingga 26 Februari 2022.

Majlis undian berlangsung di Singapura, hari ini yang disertai secara dalam talian oleh wakil dari setiap pasukan turut menyaksikan Kumpulan A bakal menampilkan tuan rumah Kemboja, Timor-Leste, Filipina dan Brunei manakala Kumpulan C pula diisi oleh Thailand, Vietnam dan Singapura.

Berdasarkan format, tiga pasukan yang muncul juara kumpulan bersama-sama satu pasukan terbaik di tempat kedua kumpulan akan layak ke separuh akhir.

Mengulas mengenai keputusan undian tersebut, Maloney menganggap peluang seimbang untuk pasukan-pasukan dari Kumpulan B merebut slot ke separuh akhir sambil menganggap tiada perlawanan mudah buat pasukan kendaliannya itu.

“Bagi saya, ia satu undian yang agak seimbang. Kami pernah berdepan Indonesia pada separuh akhir Kejuaraan B-18 AFF 2019 di Vietnam yang mana ia satu perlawanan cukup epik sebelum akhirnya kami menang 4-3 pada masa tambahan.

“Laos juga kami baru saja bertemu pada Kelayakan Piala Asia B-23 2022 di Mongolia, Oktober lalu yang mana ia juga satu perlawanan yang sukar sebelum kami berjaya menang 1-0.

“Jadi tiada istilah perlawanan mudah atau lawan yang mudah kerana kini sesiapa pun boleh mengalahkan pasukan lain apabila bertemu dengan pasukan di Asia Tenggara ini,” kata Maloney.

Berhubung persiapan pasukan, Maloney berkata, beliau kini sedang mencatur persiapan yang mana beberapa perlawanan persahabatan akan diharungi skuad B-23 kebangsaan sebelum terbang ke Phnom Penh pada Februari nanti.

“Saya rancang untuk mula mengumpul pemain bagi kem latihan pusat pada satu tarikh yang akan ditetapkan nanti pada Januari ini dan kami akan mengatur tiga atau empat perlawanan persahabatan antarabangsa sebelum ke kejohanan ini nanti.

“Harap kita dapat membuat satu persiapan yang baik ke kejohanan ini untuk membolehkan kita berpeluang lebih baik menduduki tangga teratas kumpulan dan layak ke separuh akhir, seterusnya ke final,” jelas Maloney.

Kejuaraan B-23 AFF 2022 dijadual berlangsung di Stadium Nasional Morodok Techo dan Stadium Prince di Phnom Penh.

Pada edisi sebelum ini yang dinamakan Piala LG B-22 2019 yang juga berlangsung di Phnom Penh, Malaysia yang ketika itu dibimbing oleh Datuk Ong Kim Swee manakala Maloney sebagai penolong jurulatih sekadar menamatkan saingan di kedudukan tempat ketiga Kumpulan B.

Selepas tewas 1-0 kepada Kemboja pada aksi pertama, skuad B-22 kebangsaan ketika itu berjaya mengikat Indonesia 2-2 pada perlawanan kedua, namun tewas 1-0 kepada Myanmar pada aksi terakhir Kumpulan B, sekali gus gagal ke separuh akhir.

Edisi 2019 itu telah dimenangi oleh Indonesia yang berjaya menewaskan Thailand 2-1 pada aksi final. – www.fam.org.my

- Advertisement -