JUARA bertahan SSTMI Thunderbolts dan BJSS Thunderbolts akan melakukan perhitungan merebut kejuaraan pada final Piala TNB Liga Hoki Remaja Malaysia (TNBMJHL) 2021 di Stadium Hoki Nasional esok.

SSTMI Thunderbolts mara ke final selepas menang 2-0 ke atas AHP-SSP-MSP Thunderbolts manakala juara liga BJSS Thunderbolts memastikan tempat di final selepas kemenangan sengit 2-1 ke atas SMKDBL-PHJ-MSNJ petang ini.

Final esok akan berlangsung di Padang 1, Stadium Hoki Nasional jam 8.00 malam.

Muhammad Amirul Haniff Mamat memulakan rentak kemenangan BJSS Thunderbolts selepas jaringan padang seawal minit ke-6 perlawanan yang berlangsung sengit.

Tenaga muda BJSS yang rata-rata berusia 17 tahun ke bawah nyata menjadi senjata ampuh buat mereka menerapkan permainan permainan pantas dan kemas yang sukar nyata disaingai SMDBKL, biarpun dibarisi beberapa pemain remaja kebangsaan.

Empat minit sebelum separuh masa, SMKDBL sekali lagi menerima kejutan, kali ini menerusi jaringan padang Muhammad Farishshah Fauzian pada minit ke-26.

Tertekan selepas ketinggalan 2-0, SMKDBL cuba bangkit dan berjaya merapatkan jurang selepas pemain kebangsaan Alfarico Lance Liau berjaya menyempurnakan tolakan daripada penalti sudut pada minit ke-51.

SMKDBL terus menekan tetapi BJSS Thunderbolt mengerah segala kudrat untuk bertahan dan sesekali melakukan serangan balas untuk memastikan kedudukan 2-1 hingga penamat.

Jurulatih BJSS S. Prakash berkata pemain banyak melakukan kesilapan tetapi bersyukur kerana tetap dapat merealisasi sasaran sebagai juara liga dan mara ke akhir.

“Ini satu pencapaian memuaskan dan esok, kami anggap pasukan kami sebagai underdog kerana reputasi SSTMI yang sudah banyak kali memenangi kejuaraan. Apa pun, saya percaya dengan kemampuan pemain dan saya anggap pertemuan esok menentang SSTMI sebagai 50-50.” kata beliau.

Ketua pasukan Wan Muhammad Najmee menganggap pertemuan dengan SSTMI esok amat mengujakan apatah lagi ini kali terakhir mereka melangkah ke final selepas terkandas di suku akhir pada edisi lepas.

“Kami tak gentar walaupun hampir separuh pasukan SSTMI terdiri dari pemain kebangsaan. Saya yakin dengan semangat berpasukan tinggi rakan-rakan,” kata beliau.

Dalam pada itu, SSTMI Thunderbolts berpeluang memastikan kejuaraan kedua berturut-turut selepas kejayaan mengatasi skuad Pahang, AHP-SSP-MSP Thunderbolts 2-0.

Bagaimanapun, SSTMI terpaksa menunggu sehingga 10 minit terakhir sebelum dapat membolosi gawang AHP-SSP-MSP apabila Muhammad Hazree Alief Rosli membuka jaringan pada minit ke-50.

Jaringan ketua pasukan remaja kebangsaan Mohamad Akhimullah Anuar Esook pada minit ke 54 melengkapkan kemenangan 2-0 SSTMI Thunderbolts untuk memastikan tiket ke final esok.

Jurulatih SSTMI Zaidi Zainuddin lega dengan prestasi anak-anak buahnya biarpun agak lambat menjaringkan gol. “Saya arahkan pemain supaya bersabar dan tidak tergesa-gesa dalam pencarian gol, akhirnya kami dapat dua gol selepas separuh masa selepas meningkatkan tempo permainan.”

Menenang BJSS, beliau berkata, SSTMI tetap menghormati pasukan muda itu dan berwaspada dengan corak permainan pantas BJSS.

“Kami akan rancang stategi, terutama selepas tewas dalam saingan liga sebelum ini dan atas faktor mereka mantap dalam aspek penalti sudut,’ kata beliau.

Ketua pasukan SSTMI Saiful Sharil pula berkata pemain akan turun dengan misi balas dendam di atas kekalahan di tangan BJSS pada saingan liga sebelum ini. “Kami akan fokus semula, meneliti video dan bertekad untuk membalas dendam esok.”

- Advertisement -