JUARA bertahan SSTMI Thunderbolts menjulang kejuaraan Piala TNB Liga Hoki Remaja Malaysian (TNBMJHL) 2021 buat kali kedua berturut-turut selepas mengetepikan BJSS Thunderbolts 4-1 pada pertembungan final di Stadium Hoki Nasional malam ini.

Kejayaan meraih kejuraan dengan jaringan besar itu juga hadir sebagai penebus maruah buat SSTMI selepas tewas di tangan juara liga itu pada saingan liga sebelum ini.

Diperkuat dengan barisan tujuh pemain kebangsaan, SSTMI Thunderbolts turun sebagai pilihan utama manakala BJSS Thunderbolts, yang dibarisi rata-rata pemain muda di bawah 17 tahun, bergantung kepada corak permainan pantas untuk melakukan kejutan.

Dan itu yang dilakukan oleh BJSS apabila mengejutkan SSTMI dengan jaringan awal pada minit ke-4 apabila ketua pasukan Wan Muhammad Najimie Ahmad Dzaib menggegar gawang SSTMI menerusi gerakan dari sebelah kanan.

Namun dua jaringan berturut-turut yang disempurnakan ketua pasukan Saiful Sharil Saiful Bahri menerusi pukulan sudut penalti dalam tempoh tiga minit pada minit ke-7 dan ke-10 mengembalikan keyakinan SSTMI untuk menguasai permainan.

Dengan kelebihan jaringan 2-1 pada separuh masa pertama, SSTMI terus meningkatkan tempo permainan dan bergerak aggresif dengan menggunakan segala pengalaman untuk mengekang BJSS dari bangkit.

Jaringan pemain kebangsaan Muhammad Muhibuddin Moharam (minit ke-36) diikuti seminit kemudian oleh Syaman Mat Tee (minit ke-37) akhirnya membenam apa juga harapan yang dimiliki BJSS untuk menyaingi SSTMI yang semakin yakin dan menguasai rentak permainan.

Jurulatih SSTMI Zaidi Zainuddin berkata walaupun kecewa kerana terlepas kejuaraan liga, pemain-pemain tetap menunjukkan semangat tinggi untuk bangkit memastikan tidak terlepas Piala TNBMJHL 2021.

“Semangat dan kerjasama tinggi yang dipamerkan pemain amat membanggakan saya. Pemain-pemain senior dan kebangsaan juga tidak kedekut mencurahkan segala ilmu kepada pemain-pemain muda untuk membantu kejayaan pasukan,” kata beliau.

Ketua pasukan SSTMI Saiful Sharil Saiful Bahri, yang juga dinobat sebagai pemain terbaik final, berkata: “Syukur kami berjaya kekalkan kejuaraan kerana ia bukan perjalanan yang mudah. Kami jadikan kekalahan sebelum ini sebagai penyuntik kekuatan untuk berjaya malam ini,” kata beliau.

Sementara itu, dua gol jaringan Muhammad Noor Firdaus Rosdi pada minit ke 34 dan 49 membantu AHP-SSP-MSP menumpaskan SMKDBL-PHJ-MSNJ 2-1 untuk meraih kedudukan ketiga.

Jurulatih AHP-SSP, Mohd Sufian Muhammad berkata biarpun ketinggalan pada awal permainan, beliau bangga anak buahnya berjaya bangkit menunjukkan kemampuan sebenar untuk menang dan meraih kedudukan ketiga.

“Secara keseluruhan, untuk berada di tempat ketiga di belakang pasukan dari sekolah sukan seperti SSTMI dan BJSS memang satu pencapaian yang memuaskan. Pembangunan hoki di Pahang berkembang pesat ketika ini dan harapan saya aga pemain terus bersemangat tinggi untk merebut peluang mencari tempat dalam skuad Projek 2023 nanti,” kata beliau.

SENARAI PEMENANG LIGA DAN PIALA TNBMJHL 2021:

Piala TNBMJHL 2021

Johan: SSTMI Thunderbolts
Naib Johan: BJSS Thunderbolts
Ketiga: AHP-SSP-MSP Thunderbolts
Pemain Terbaik Final: Saiful Sharil Saiful Bahri (SSTMI Thunderbolts)
Penjaring Terbanyak: Muhammad Salman Sudirman (MSNS/PHS) 16 gol
Anugerah Fair Play: SSTMI Juniors

Liga Divisyen 1:

1. BJSS Thunderbolts
2. AHP-SSP-MSP Thunderbolts
3. SSTMI Thunderbolts

Liga Divisyen 2:

Johan: MSNS/PHC
Naib Johan: Kedah Eagle Jr.
Ketiga: PHNS/MSSNS-B16

- Advertisement -