Perlawanan terakhir peringkat Kumpulan A, Kejohanan Piala Asia Wanita 2022 di Kompleks Sultan Qaboos, Muscat, Oman hari ini yang menemukan Skuad Projek Khas Wanita Kebangsaan dan Jepun tamat dengan keputusan Skuad Wanita Negara tewas 0-8.
Disebalik keputusan yang tidak berpihak kepada Malaysia, penyerang negara, Nuramirah Shakirah Zulkifli dipilih selaku pemain terbaik perlawanan tersebut.
Pada aksi yang berlangsung hari ini, Malaysia hampir menjaringkan gol pendahuluan seawal minit ketiga menerusi percubaan Nuramirah Shakirah dari sebelah kanan pintu gol lawan, namun sayangnya percubaan tersebut tersasar.
Minit keempat, Kapten Jepun, Yuri Nagai yang tidak dikawal disebelah kanan pintu gol negara berjaya menerima bola hantaran rakan sepasukannya untuk gol pembukaan perlawanan terhasil.
Jepun terus menambah empat lagi gol dalam suku kedua dengan Kaho Tanaka menyumbang dua gol padang pada minit ke-16 dan ke-28 sementara kelebihan pukulan sudut penalti yang dimiliki pada minit ke-20 disempurnakan oleh Shihori Oikawa.
Beberapa saat sebelum aksi separuh pertama berakhir, Mai Toriyama menambah satu lagi gol padang untuk kedudukan 5-0 berpihak Jepun yang sekaligus menutup babak separuh masa pertama.
Bersambung separuh masa kedua, pada minit ke-39, situasi kelam kabut di pintu gol pasukan negara ketika bertahan digunakan oleh Kaho Tanaka untuk menjaringkan gol keenam Jepun yang juga merupakan jaringan hatriknya pada perlawanan tersebut.
Malaysia hampir memecah kebuntuan jaringan menerusi percubaan dari sebelah kiri pintu gol lawan apabila bola hantaran Hanis Nadiah Onn menemui Siti Zulaikha Husain untuk disudahkan namun penjaga gol Jepun berjaya mengeluarkan bola berkenaan sekaligus menidakkan percubaan tersebut.
Jepun terus menambah gol ketujuh mereka pada minit ke-48 selepas kelebihan pukulan sudut penalti dimanfaatkan oleh Kana Urata sebelum Sakurako Omoto menjaringkan gol kelapan pada minti ke-57 yang sekaligus menutup perlawanan terakhir peringkat Kumpulan A buat kedua-dua pasukan.
Malaysia akan turun untuk aksi seterusnya iaitu perlawanan klasifikasi kedudukan 5 hingga 8 bertemu Indonesia pada Rabu (26 Januari) jam 6 petang, waktu Malaysia.