Juara All England 2021 Lee Zii Jia dipilih sebagai pemain perseorangan pertama negara menjelang Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 bulan depan.

Selain Zii Jia, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) turut mengumumkan lima lagi pemain iaitu Ng Tze Yong, Aidil Sholeh Ali Sadikin, Leong Jun Hao, Lim Chong King dan Jacky Kok Jing Hong bagi melengkapkan barisan perseorangan negara untuk kejohanan dwitahunan itu.

Bagi saingan bergu, pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo 2020 Aaron Chia-Soh Wooi Yik akan mengetuai gandingan bersama sama Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun.

Skuad wanita negara pula terdiri daripada Eoon Qi Xuan, S. Kisona, Tan Zhing Yi, Siti Nurshuhaini Azman, Myisha Mohd Khairul manakala beregu diwakili Pearly Tan-M.Thinaah, Teoh Mei Xing-Anna Cheong, Valeree Siow-Low Yeen Yuan dan Go Pei Kee.

Saingan BATC 2022 dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam, Selangor dari 15 hingga 20 Februari depan.

Selain Malaysia, sembilan lagi negara yang mengesahkan penyertaan; Indonesia, Jepun, Korea Selatan, India, Thailand, Taiwan, Hong Kong, Kazakhstan dan Singapura – akan bersaing untuk mengesahkan tempat automatik mereka dalam final Piala Thomas dan Uber 2022 yang akan diadakan di Bangkok, Thailand pada Mei nanti.

Pengarah Kejurulatihan Perseorangan BAM Wong Choong Hann menjelaskan pemilihan Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong disebabkan kedua-dua pemain itu yang lebih menonjol dalam tempoh setahun kebelakangan ini.

Choong Hann berkata baki empat nama melengkapkan senarai pemain perseorangan negara adalah Aidil Sholeh Ali Sadikin, Leong Jun Hao, Lim Chong King and Jacky Kok Jing Hong yang dipilih menerusi ranking dalaman BAM.

“Untuk Jacky, kita ingin beri peluang untuk dia cari pengalaman dan kebelakangan ini juga dia tunjuk peningkatan yang lebih baik. Jadi kita nak berikan satu motivasi kepada sesiapa pamerkan persembahan bagus, kita akan berikan peluang” katanya.

Beliau juga berharap pemain pemain dapat merealisasikan misi pasukan untuk menghuni kelompok empat terbaik sekali gus layak secara merit ke saingan berprestij Piala Thomas 2022 di Bangkok, Thailand, Mei depan.

Tambah Choong Hann lagi, ketiadaan K.Letshana disebabkan pemain itu menjalani proses pemulihan kecederaan belakang.

Menyentuh mengenai cabaran akan dihadapi pasukan negara, Choong Hann berkata barisan pemain hanya perlu memfokuskan kepada persiapan pasukan dan memastikan segala dirancang barisan kejurulatihan berjalan lancar.

Dalam pada itu, Pengarah Kejurulatihan beregu BAM Rexy Mainaky berkata peluang diberikan kepada barisan pasangan muda negara pada kejohanan dwitahunan itu adalah bertujuan memberikan platform kepada mereka membuktikan kemampuan masing-masing.

Sebagai contoh, Rexy berkata aksi konsisten ditunjukkan Wei Chong-Kai Wun dan Anna Cheong-Mei Xing dalam kejohanan disertai terdahulu membolehkan mereka terpilih ke dalam skuad ke BATC 2022.

“Kalau kita tengok persembahan mereka (Man Wei Chong-Tee Kai Wun) di Eropah dan terakhir di India, mereka cukup konsisten dan boleh mengalahkan Rusia dan turut menang di peringkat separuh akhir menentang pasangan kedua India dan di final juga mereka terus konsisten.

“Kita juga ingin ambil kesempatan terhadap usia mereka yang masih muda untuk bermain di BATC 2022 supaya akan menjadi satu pengalaman yang bernilai untuk mereka,” katanya

Wei Chong-Kai Wun dan Anna Cheong-Mei Xing masing-masing merangkul gelaran sulung bagi musim 2022 pada Kejohanan Antarabangsa India Syed Modi 2022 di Lucknow.

 

 

 

 

- Advertisement -