Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengatasi defisit satu gol mengetepikan Maybank manakala jaringan tunggal penyerang prolifik negara Fazal Saari sudah cukup untuk membawa penyandang juara Terengganu Hockey Team (THT) mara ke final Piala TNB, Khamis ini.
TNB nyata dalam kelas tersendiri apabila menumpaskan Maybank 5-1 (aggregate 6-3) dalam saingan separuh akhir kedua hari ini manakala jaringan Faizal menjulang kejayaan tipis 1-0 THT ke atas UiTM (aggregate 2-1) untuk mara ke final Piala TNB ketujuh mereka sejak 2015.
Perlawanan kemuncak Piala TNB akan berlangsung di Stadium Hoki Nasional pada Khamis ini jam 8.30 malam.
Ketika THT bergelut dengan tentangan sengit sebelum mengatasi UiTM, TNB pula bangkit dari kekecewaan terlepas gelaran juara liga dan dikejutkan Maybank 1-2 pada separuh akhir pertama untuk melakar kemenangan hari ini.
Dua gol dalam tempoh pada minit ke-10 oleh Azril Misron dan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal pada minit ke-12 membuka laluan kemenangan besar anak buah Nor Saiful Zaini.
Separuh masa kedua menyaksikan Muhammad Aizad menambah jaringan (minit ke-59) manakala Shahril Saabah (minit ke-36) dan Norshafiq Sumantri (ke-60) melengkapkan jaringan besar TNB dan mengesahkan tiket ke final.
Maybank, yang turun dengan kelebihan satu gol, gagal memanfaat peluang dan akur dengan strategi aggresif yang diterapkan TNB.
Bagi THT, sasaran menjulang kejayaan treble musim ini semakin hampir menjadi kenyataan biarpun TNB bukanlah calang-calang lawan.
Kejayaan berganda menjulang piala Sumbangsih dan Liga belum menjamin peluang THT dan ini diakui sendiri pengendali Roslan Jamaluddin yang melatih THT buat musim pertama
“Perlawanan akhir nanti memang berbeza dan peluang memang sama rata buat kedua-dua pasukan. Bagi kami, berada di final pun satu kejayaan besar…yang penting pemain berada dalam keadaan bersedia untuk memberikan yang terbaik Khamis ini,” kata Roslan.
Pada perlawanan hari ini, UiTM berjaya mengekang permainan agresif THT yang terpaksa menunggu hingga penghujung separuh masa pertama sebelum dapat memecah kebuntuan.
Gol tunggal Faizal Saari, yang merupakan penjaring terbanyak liga, pada minit ke-29 menerusi pukulan sudut penalti sudah cukup meranap impian UiTM dan membawa THT ke final.
“UiTM bermain baik terutama di pertahanan, tetapi yang penting ialah berjaya mara ke final walaupun dengan kemenangan tipis satu gol,” kata Roslan.
FINAL PIALA TNB 2022 (Khamis 31 Mac, 8.30 mlm)
Terengganu Hockey Team (THT) mln Tenaga Nasional Berhad (TNB)