Hari kedua Kejohanan Badminton Petronas Bawah 21 Kebangsaan yang berlangsung di Kuantan, Pahang semakin rancak berlangsung dimana giliran acara perempuan bagi perseorangan, bergu dan bergu campuran membuka tirai pada Khamis

Antara yang mencuri tumpuan, Chan Wen Tse yang beraksi dalam saingan perseorangan dimana beliau mara ke pusingan kedua.

Pemain berusia 17 tahun yang beraksi untuk pasukan BAM tidak berdepan masalah untuk menundukkan Amanda Yap Hwa Leng dari Kuala Lumpur dengan kemenangan 21-16, 21-12 sekaligus bakal berdepan rakan seperjuangan, G Vannee yang menang ke atas Pon Jia Yee (N Sembilan) 21-18, 14-21, 21-15.

Aksi bergu perempuan, Wen Tse yang bergandingan dengan Siti Zulaikha Mohd Azmi Tan turun selaku pilihan kedua akan berdepan pasangan dari Kuala Lumpur, Erica Hoh Ji Ling – Ng Sum Yee esok selepas mendapat bye pada pusingan pertama.

Pilihan pertama acara perseorangan, Tan Zhing Yi dari BAM akan memulakan saingan berdepan wakil Selangor, V Radhakrishnan esok selepas mendapat bye di pusingan pertama.

Begitu juga dengan Ong Xin Yee (BAM) yang turun selaku pilihan kedua akan beraksi menentang wakil Kedah, Sharifah Nuranis Syed Faisal yang menang ke atas Siti Nurshuhaiza Suhaimi (Sarawak) di pusingan pertama.

 

- Advertisement -