Walaupun kurang menyertai perlumbaan antarabangsa sepanjang dua tahun lalu akibat wabak Covid 19 yang melanda dunia, Team Sapura Cycling (TSC) tetap bercita-cita tinggi untuk memburu jersi kuning keseluruhan PETRONAS LTdL 2022 menerusi penyandang juara, Danilo Celano.

Pelumba kelahiran Itali berusia 32 tahun itu yang muncul juara edisi 2020 – menyambung kejayaan Benjamin Dyball pada 2019, akan dibantu lima pelumba muda tempatan dalam misi besar TSC tahun ini.

Pengurus pasukan TSC, Sayuti Zahit berkata, walaupun pasukan itu agak tenggelam sepanjang dua tahun kebelakangan ini gara-gara kurang penyertaan antarabangsa, pelumba pasukan itu tetap menjalani latihan seperti biasa dengan regim latihan ketika ini berkayuh purata 20 hingga 25 jam setiap minggu.

Sambil berterima kasih kepada penaja pasukan itu seperti Sapura Group, CCN, N8 dan Rudy Project yang terus menyokong biarpun tidak banyak menyertai perlumbaan di luar negara, Sayuti berkata dia tetap yakin dengan pelumba yang dipilih untuk mengibar cabaran tahun ini.

“Dengan bantuan jurulatih, kami tetap berusaha untuk meletakkan para pelumba dalam keadaan fizikal dan mental terbaik untuk mengharungi cabaran LTdL 2022 ini kerana menyedari persaingan kali ini lebih getir memandangkan ada enam pasukan bertaraf World Team dan empat pasukan Pro Continental.

“Terlalu awal untuk bercakap mengenai strategi tetapi kami akan mengambil pendekatan peringkat demi peringkat,  berdasarkan keputusan harian,” katanya.

Kejayaan Celano pada 2020 banyak dibantu pelumba berpengalaman seperti Serghei Tvetcov, Pierpaolo Ficara, Cristian Raileanu dan Ahmet Orken selain seorang pelumba tempatan Muhammad Nur Aiman Zariff.

Tetapi untuk cabaran LTdL 2022 ini, Celano bakal mendapat bantuan daripada lima pelumba muda Malaysia termauk dua juara kebangsaan tahun ini iaitu juara ujian masa individu kebangsaan, Muhammad Nur Aiman Rosli dan juara lebuh raya 2022, Muhsin Al Redha Misbah.

Tiga pelumba lain adalah Akmal Hakim Zakaria; Muhammad Zawawi Azman dan Muhammad Shaiful Adlan Shukri.

Sayuti berkata, anak buahnya juga akan membuat kayuhan tinjauan di laluan yang akan digunakan pada Peringkat 1, 2, 3, 7 dan 8 bermula 20 September ini, sebelum memanaskan badan di Tour de Taiwan pada 2-6 Oktober.

LTdL22 akan membuka tirai saingan dengan Peringkat 1 Kuala Pilah ke Kuala Lumpur sejauh 157.3km; Peringkat 2 Kuala Klawang-Raub (178.9km); Peringkat 3 Putrajaya-Genting Highlands (123.7km); Peringkat 4 Sabak Bernam-Meru Raya (137.9km); Peringkat 5 Kuala Kangsar-Kulim (172.0km); Peringkat 6 Georgetown-Alor Setar (120.4km); Peringkat 7 Kuah-Gunung Raya (90.8km) dan Peringkat 8 Loop Langkawi (115.9km), membabitkan jarak keseluruhan 1,096.9km.

LTdL 2022 kali ini dianggap paling sengit dan menarik dapat disaksikan dengan penyertaan enam pasukan World Team iaitu UAE Team Emirate (UAE), Cofidis (Perancis), Lotto Soudal (Belgium), EF Education EasyPost (Amerika Syarikat), Movistar (Sepanyol) dan Astana-Qazaqstan (Kazakhstan).

Empat pasukan berstatus Pro Continental pula adalah Drone Harper-Androni Giocattoli (Itali), Uno X-Pro Cycling (Norway), Alpecin-Deceuninck (Belgium) dan Burgos-BH (Sepanyol).

Cabaran pasukan Continental pula diketuai dua pasukan profesional benua tempatan, Terengganu Polygon Cycling Team dan Sapura, dua pasukan berdaftar di Indonesia iaitu Mula Cycling Team dan Roojau Cycling Team, ARA Pro Racing Sunshine Coast (Australia), China Glory Continental Cycling Team (China), ProTouch (Afrika Selatan) da Kuwait Pro Cycling (Kuwait).

Pasukan rantau Asia lain termasukah Thailand Continental Team (Thailand), Team UKYO (Jepun), &-Eleven Cliqq Air (Filipina) dan pasukan kebangsaan Malaysia.

- Advertisement -