Pada awalnya dia hanya mahu menimba pengalaman bersaing di temasya Sukan Malaysia (Sukma) sambil belajar dan memerhati seniornya bermain tetapi Lavinia Kho Jia Jie, mengambil beberapa langkah besar di Sukma XX ini.
Atlet bowling wanita yang baru berusia 18 tahun dari Kuching itu sebaliknya menjadi tonggak utama dalam kejayaan Sarawak apabila memungut tiga pingat emas, menenggelamkan rakan senior yang juga pemain kebangsaan, Gillian Lim yang beraksi di Sukma terakhir.
Paling menarik, pada usia muda, dia mampu mempamer ketenangan dengan sikap tidak mudah mengalah dan sentiasa memberikan hayunan terbaik setiap kali melangkah ke gelanggang.
Lavinia yang mula bermain pada usia 8 tahun, memenangi emas dalam acara Singles, Doubles (bersama Nur Hazirah Ramli) dan 5 Sepasukan, sekali gus menjadi pencapaian cemerlang buat pemain yang muncul kali pertama di pentas Sukma.
Namun, ketika menjadi sorotan banyak pihak di Sunway Mega Lane di Petaling Jaya, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Green Road di Kuching itu, tetap merendah diri dan berterima kasih kepada jurulatih Angelo Koay yang mula menggilap bakat dan permainannya di usia kanak-kanak.
Dan berdasarkan prestasi yang dipamerkan pada Sukma XX ini, tidak mustahil Lavinia akan menjadi antara permata bowling wanita negara dalam masa terdekat yang mampu menggegar di peringkat Asia Tenggara, Asia dan dunia.