JOHOR menambah tiga lagi ingat emas sukan kenu Sukan Malaysia Ke-20 (Sukma XX) apabila menguasai ketiga-tiga acara mendayung Bot Tradisional yang dipertandingkan pada hari terakhir sukan itu di Kompleks Sukan Air Precint 6 di sini, hari ini.

Dengan tiga emas terakhir itu perlumbaan bot tradisional 8-pendayung 200 meter lelaki, wanita dan campuran itu, Johor muncul kuasa sukan kenu pada temasya kali ini dengan keseluruhan 23 emas.

Pasukan lelaki memenangi emas dengan masa 54.850 saat, menewaskan Pulau Pinang; pasukan wanita menewaskan Wilayah Persekutuan (WP) dengan masa 1 minit 01.034 saat manakala pasukan campurannya menundukkan Terengganu, dengan masa 57.723s.

Begitupun, dua emas acara Kenu Slalom Ki Flat Water dicuri oleh pendayung wanita WP, Marina Muzaffa yang menewaskan pendayung Pahang Azlyn Farhana Muhamad Azmi Tan di perlumbaan akhir, dengan masa 1:22.340s.

Pendayung lelaki Perak juga mencipta kejutan pada hari terakhir sukan kenu apabila Muhammad Mirza Hazari Asri menewaskan Muhammad Akmal Hakim Azad dari Johor, dengan masa 1:16.090s.

Sementara itu, Marina berkata, dia berpuas hati dengan emas kedua dan terakhirnya di Sukma XX kali ini, selepas mencuba dalam 12 acara pada temasya ini.

“Perlumbaan hari ini tidak mudah tetapi juga tidak sukar. Ada sedikit kesilapan tetapi saya memperbetulkan dan secara keseluruhan, ia perlumbaan yang baik,” katanya yang bersama-sama Aisyah Farhanah Azwan, memenangi emas K2 500 meter dengan catatan 2:04.904s, memecahkan rekod berusia 25 tahun yang dilakukan Nor Ain Idrus dan Nor Haslinda  di Sukan SEA Indonesia 1997 (2:05.05s).

Wilayah Persekutuan dan Terengganu masing-masing mengumpul keseluruhan 5 pingat emas manakala Perak memungut emas tunggal mereka pada hari terakhir.

- Advertisement -