Baru lima bulan di bawah kepimpinan YHM Tengku Dato’ Aidy Ahmad Shah Tengku Kamil Ismail, arena badminton Pahang semakin bersinar dan menampakkan peningkatan positif hari demi hari.
Selepas penampilan memberangsangkan di temasya SUKMA yang berlangsung pada September, pasukan badminton junior Pahang pula mencipta sejarah apabila pasukan lelaki B-12 muncul juara National Interstate Championship 2022 pada Oktober.
Sepertimana ayahnya yang juga mantan Presiden Persatuan Badminton Pahang, Tengku Kamil Ismail, Tengku Aidy juga berkongsi keghairahan yang sama untuk terus melonjakkan badminton Pahang ke aras lebih tinggi.
“Ketika saya dilantik sebagai Presiden, saya tahu ia tanggungjawab yang cukup besar untuk meneruskan apa yang ayahnda saya sudah lakukan.
“Untuk jangka pendek, bukan setakat mahu melonjakkan prestasi, tetapi memperkasa pembangunan badminton di Pahang dari akar umbi, menyusun semula program, membawa lebih ramai penaja dan sudah tentu mahu mengilap anak-anak Pahang menjadi jagoan nasional.
“Untuk jangka panjang, kita mahu lahirkan produk Pahang yang boleh membawa nama negara, seperti kita ada Lai Pei Jing, dan kita mahu ada ramai sepertinya yang boleh jadi kebanggaan Pahang dan negara.
“Pencapaian menduduki tempat keempat di SUKMA buat kali pertama, dan setelah itu kejayaan dicatat pasukan remaja di National Interstate membuktikan perancangan kita dalam landasan betul.
“Saya tidak mahu kita berhenti di sini dan berharap lebih banyak pencapaian serta kejayaan akan menyusul,” kata Tengku Aidy yang ditemui ketika hadir meninjau penganjuran Kejohanan Remaja dan Tertutup Pahang 2022 yang berlangsung dari 14 hingga 18 Disember lalu.
Kejohanan tahunan itu telah menarik lebih 600 penyertaan membabitkan 21 kategori dan menawarkan hadiah keseluruhan sebanyak RM21,000 yang mana merupakan jumlah tertinggi dalam sejarah penganjurannya.
“Memang saya cukup gembira malah terkejut dengan sambutan yang begitu menggalakkan, apatah lagi dengan keadaan cuaca dan musim tengkujuh ketika ini tetapi ia tidak menjadi halangan.
“Pemain-pemain nampak ada keghairahan tinggi dan bersemangat, ibu bapa juga teruja hadir memberikan sokongan, saya melihat badminton Pahang ada masa depan yang baik dan ini adalah satu platform buat kita untuk mencungkil dan mengetengahkan pemain berkualiti.
“Ucapan terima kasih saya kepada semua penaja seperti Tanah Makmur Berhad, Wira Semangat, LLT Group, Kotamas, Abitare Sdn Bhd, Hotel Zenith, Nasi Kukus MyMama, Cuckoo International dan juga Embi Gio Sdn Bhd,” tambah beliau lagi.
Sebagai makluman, saingan kategori remaja bermula dari usia 9 hingga 15 tahun manakala tertutup pula membabitkan dewasa dan veteran sehingga 50 tahun, selain super veteran bagi yang berusia 50 tahun ke atas.
*Senarai pemenang (Kejohanan Remaja) :*
Shahadzryl (PL 9 & PL 11)
Denise Hang (PP 9)
Lim Sheng Xiang – Vimal Kaimuthu (BL 11)
Mooi Yan Xuan (PL 13)
Vanshikapriya (PP 13)
Chia Chong Kim – Mooi Yan Xuan (BL 13)
Loh Kim Sheng (PL 15)
Chloe Yeo (PP 15)
Loh Kim Sheng – Marcus Hang (BL 15)
Chloe Yeo – Tan Eng Tong (BP 15)
*Senarai pemenang (Kejohanan Tertutup) :*
Muhd Iqbal Roslan (PL)
Chloe Yeo (PP)
Nabeel Azriq – Syafik Din (BL)
Gan Jing Err – Mirza Batrisyia Agnia Nazri (BP)
Tan Teck Han – Nurzarieni (BC)
Goh Sook Teng – Tan Yee Hoon (BPV 35)
Lee Kim Wai (PLV 40)
Hasri Sidek (PLV 50)
Danny Bang – Tam Chee Chung (BLV 40)
Chong Wai Yui – Tai Sing Heng (BLV 50)