Meskipun baru berkecimpung dalam sukan multi-disiplin tidak melebihi tiga tahun, ia sudah memadai buat Teo Zun Jet dan kakaknya Teo Sze Hui untuk menjadi antara atlet terbaik di negara.

Kedua-dua mereka berjaya merebut tiket ke Sukan SEA Kemboja selepas beraksi cemerlang dalam kejohanan Neptune X113 Aquathlon Putrajaya 2023 (NX113) di Tasik Putrajaya hari ini.

Zun Jet, 17, menang bergaya kategori Elit lelaki selepas melengkapkan rutin renang 500m dan larian 2.5km itu dengan catatan masa 16 minit, 12 saat (16:12), 14 saat mengatasi pencabar terdekatnya yang juga pilihan utama Isaac Tan (16:26).

Isaac merupakan atlet triathlon utama kebangsaan yang bertanding di Sukan Komanwel Birmingham tahun lalu.

Lee Wen Jun (16:33) dan Brendon Wong Kai (16:43) masing-masing menduduki tangga ketiga dan keempat.

Persatuan Triathlon Malaysia (MTA) menggunakan NX113 untuk memilih dua atlet lelaki and dua atlet wanita terbaik bagi mewakili pasukan kebangsaan dalam sukan Aquathlon yang bakal dipertandingkan buat kali pertama di Sukan SEA.

Walaupun tidak berjaya menempatkan diri di kedudukan dua teratas, slot kedua tetap menjadi milik Brendan.

Ini kerana Isaac akan fokus dalam acara triathlon di Kemboja nanti, sementara Wen Jun pula menjangkaui had umur bawah 23 tahun yang ditetapkan oleh Majlis Olimpik Malaysia bagi atlet kategori B.

Dalam saingan wanita Elit pula, dua tiket Sukan SEA berjaya direbut Siobhan Doyle dan Sze Hui selepas menghabiskan saingan di tempat kedua dan keempat dengan catatan 18:30 dan 19:16.

Acara itu diungguli atlet Indonesia Renata Berliana dengan catatan 18:09, manakala Ng Wen May melengkapkan kedudukan podium dengan 18:52.

Wen May tidak dipertimbang untuk pemilihan kerana dia telahpun disenarai MTA ke Sukan SEA bagi acara triathlon.

Kedua-dua beradik Teo langsung tidak menduga mereka akan dapat mewakili negara ke Sukan SEA buat kali pertama.

“Saya sebenarnya merupakan perenang dan pemain polo air negeri (mewakili Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur). Saya hanya mula berjinak dalam disiplin larian dan berbasikal sewaktu PKP (Perintah Kawalan Pergerakan sewaktu pandemik Covid-19) kerana itulah dua aktiviti yang boleh dilakukan,” kata Zun Jet.

“Lama kelamaan, saya mula berlatih dengan serius lalu menceburi sukan multidisiplin. Memang seronok kerana akhirnya dapat mewakili negara ke Sukan SEA, saya akan terus berlatih bersungguh-sungguh dan mudah-mudahan dapat memenangi pingat untuk Malaysia pada Mei nanti.”

Kata Sze Hui: “Seperti adik , saya juga bermula dari berenang sebelum mula fokus juga kepada disiplin berlari dan berbasikal ketika PKP.

“Saya bersyukur kerana akhirnya dapat mencapai matlamat saya untuk mewakili negara, walapupun bagi aquathlon. Sebelum ini saya sebenarnya ingin cuba layak ke Sukan SEA Vietnam dalam sukan triathlon, namun oleh kerana ia dipertandingkan dalam jarak rasmi Olimpik, hanya atlet 18 tahun ke atas sahaja boleh bertanding.”

Sementara itu, Kejohanan Renang Perairan Terbuka Asia Tenggara (SEAOWSC) yang melabuhkan tirainya pada sebelah pagi dengan memenangi dua lagi pingat iaitu perak dan gangsa dalam acara berpasukan campuran 4×1.5km berganti-ganti.

Lim Kai Yi, Teoh Kai Ning, Lynna Yeow dan Hannes Wan dari Malaysia A muncul naib juara dalam kategori usia 14-16 selepas mencatat 1:19:51.3 di belakang Thailand A (1:16:35.4).

Pasukan Malaysia B Aslan Adnan, Grace Yap, Jamie Tan, Yap Rong Yi merangkul gangsa dengan 1:23:04.5.

Malaysia bagaimanapungagalbersaing dalam kategori Terbuka yang menyaksikan penguasaan pasukan Indonesia, Thailand dan Singapura di tangga ketiga teratas.

Malaysia telah mengumpul tujuh pingat perak dan empat gangsa untuk ketiga-tiga hari kejohanan.

Kata jurulatih kebangsaan Kevin Yeap: “Saya bangga dengan pencapaian pasukan yang terdiri rata-ratanya mereka yang berusia di bawah 16 tahun.

“Saya pasti kesemua mereka telah menimbapengalaman yang cukup berharga dan akan memberi cabaran yang lebih hebat pada tahun-tahun akan datang.

“Paling menyerlah pastinya Magdalene Lau selepasmemenangi dua pingat perak dalam acara 5km dan 10km. Saya mungkin akanmencadangkannya untuk ke Kejohanan Asia tahun ini.”

- Advertisement -