Dengan jarak keseluruhan sejauh 1,280.3 kilometer (km) dan tiga zon pecutan di sepanjang laluan setiap hari, selain pecutan terakhir di garisan penamat, saingan lapan peringkat Le Tour de Langkawi 2023 (LTdL2023) bermula 23 hingga 30 September depan, tetap dianggap menarik, mencabar dan sukar diramal.
Ketua Pegawai Operasi LTdL2023, Emir Abdul Jalal berkata, pihaknya membuat tinjauan laluan lebih awal bagi memastikan persaingan LTdL kali ini tetap mencabar di bawah cuaca panas terik menepati temanya âBeat The Heatâ, selain cuba menonjolkan kehangatan sambutan peminat di sepanjang laluan, kekayaan, kepelbagaian dan keunikan alam semulajadi serta budaya yang ada di negara ini menerusi âSports Tourismâ.
Sehubungan itu, katanya, edisi ke-27 LTdL 2023 yang dijayakan Kementerian Belia dan Sukan menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) kali ini, digarap secara teknikal bagi memenuhi statusnya sebagai perlumbaan jelajah ProSeries dalam kalendar Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) dan terunggul di Asia.
Bermula dengan Peringkat 1 sejauh 184.4km di Kerteh dan berakhir di Kuala Terengganu, Emir berkata, pemilihan lokasi LTdL2023 ini memberi penghormatan kepada negeri Terengganu yang diberi jolokan âLand Of The Cyclistsâ atas kejayaannya negeri itu melahirkan ramai bintang-bintang berbasikal negara termasuk dua pemenang peringkat dalam sejarah LTdL sendiri iaitu Harrif Saleh dan Anuar Manan, selain jaguh keirin dunia Datoâ Azizulhasni Awang.
Dengan jarak secara relatifnya agak panjang tetapi mendatar untuk peringkat pembukaan, tempo kayuhan dijangka tinggi  terutama pada perebutan mata di dua zon pendakian mudah di Jerangau dan Sekayu serta tiga zon pecutan demi meraih penghormatan pertama selaku penyarung jersi.
Senario yang sama juga dijangka berlaku pada Peringkat 2 Kuala Terengganu ke Kota Bharu sejauh 186.2km pada keesokan harinya, di mana pakar pendaki sekadar berkayuh untuk membantu pasukan, memanaskan badan dan bersiap-sedia bagi menghadapi peringkat berikutnya.
Pada dua peringkat awal ini, dijangka setiap pasukan akan menunjukkan strategi membawa pakar-pakar pecut masing-masing ke bahagian depan peloton menjelang tiba garisan penamat, manakala beberapa pasukan lain akan tampil dengan strategi sinonim menghantar pakar ujian masa mereka cuba meloloskan diri lebih awal dan mengutip sebanyak mungkin mata klasifikasi Raja Pecut.
Dua peringkat awal yang landai ini juga memberi peluang terbaik buat pasukan profesional benua tempatan, Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) untuk memperagakan kehebatan mereka di depan penyokong sendiri, terutama dalam menambah koleksi kemenangan pasukan itu dalam sejarah LTdL.
Gambaran awal kekuatan pasukan dan pelumba pilihan pada edisi ke-27 LTdL 2023 ini bakal disaksikan pada Peringkat 3 Jeli, Kelantan ke Baling, Kedah sejauh 177.1km, yang membawa peloton memanjat dan merentasi pendakian Kategori 1 (KOM1) Banjaran Titiwangsa selain tiga lagi pendakian berstatus KOM2 dan KOM3 menuju ke Sungai Rui, Baling.
Ini adalah kali kedua peloton akan pergi ke Baling dengan laluan berbeza daripada edisi 2016.
Sama ada senario sama seperti dilakukan pelumba Jepun mewakili Bridgestone-Anchor, Koji Fukushima yang bertindak secara kamikaze membuat breakaway solo ketika merentasi Banjaran Titiwangsa dan memenangi Peringkat 3 LTdL 2005 di Tanah Merah akan berulang, segala-galanya akan terjawab di Baling â pekan bersejarah yang kali pertama menjadi hos penamat dalam LTdL.
Peringkat 4 dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang ke Meru Raya di Ipoh dianggap tempoh merehatkan otot masing-masing atau âcooling offâ buat pelumba walaupun persaingan tetap berjalan sengit di dalam peloton terutama kepada pencabar terdekat semua empat penyarung jersi.
Ibarat pepatah âtenang sebelum taufanâ atau âcalm before the stormâ, persaingan LTdL2023 akan dapat peminat saksikan pada Peringkat 5 yang berlepas di Slim River dan menempuh pendakian Kategori 2 di Genting Sempah, Gombak terlebih dahulu sebelum kategori Hors ke puncak Genting Highlands sejauh 133.3km.
âPada peringkat inilah, calon pakar pendaki dan pembantu yang dibawa setiap pasukan akan mempamerkan watak sebenar mereka dalam usaha memenangi âqueen stage LTdLâ ini, di samping mengukuhkan cengkaman terhadap jersi kuning dan jersi Raja Bukit bagi menghadapi baki tiga peringkat yang landai seterusnya,â kata Emir.
Sejauh mana kekuatan pasukan dan penyarung kedua-dua jersi itu akan dapat disaksikan pada baki tiga peringkat landai seterusnya iaitu Peringkat 6 Karak ke Melaka sejauh 176.6km; Peringkat 7 Muar ke Seremban 2 sejauh 125.7km dan Peringkat 8 Setia Alam ke KLCC sejauh 157km.
âBaki tiga peringkat ini tetap menarik kerana di sinilah kita akan dapat lihat sejauh mana daya ketahanan penyarung jersi kuning dan taktikal pasukannya untuk mengekang dan membalas asakan pencabar terdekat mereka, selain kerancakan persaingan dalam perebutan jersi Raja Pecut pada setiap hari sehinggalah penamat di depan Kuala Lumpur City Center (KLCC),â kata Emir lagi.
Apa yang pasti, katanya, sepanjang lapan hari perlumbaan tahun ini, edisi ke-27 LTdL 2023 mempunyai daya tarikannya yang tersendiri dan mampu menarik tumpuan peminat sukan berbasikal jelajah tempatan dan seluruh dunia.