Penentuan pemenang keseluruhan mungkin terjawap ketika pendakian ke Genting Highlands pada Peringkat 5 PETRONAS Le Tour de Langkawi 2023 (LTdL) tetapi enam peringkat landai yang dijangka berakhir dengan pecutan beramai-ramai diramal lebih mencuri perhatian.
Dengan kehadiran ramai pakar pecut yang sedang berada pada prestasi terbaik dalam jelajah edisi ke-27 ini, tidak mustahil henjutan terakhir nanti akan menyaksikan persaingan berkualiti kelas dunia.
Pada sidang media menjelang bermula Peringkat 1 Kerteh-Kuala Terengganu sejauh 187.4km hari ini, beberapa pakar pecut melahirkan keyakinan meraih kemenangan peringkat berdasarkan prestasi masa kini masing-masing.
Antara yang tidak malu-malu meluahkan keyakinan itu ialah pelumba Bolton Equities Black Spoke, George Jackson yang cemerlang memenangi dua peringkat di Tour of Taihu Lake, dalam laluannya memenangi jersi kuning pendahulu, minggu lalu.
“Ya, saya memburu kemenangan peringkat di sini dan berasa yakin kerana saya berada pada prestasi yang baik selepas baru saja menang di Tour of Taihu Lake, beberapa hari lalu,” kata pelumba kelahiran Wellington berusia 23 tahun itu.
Berasal daripada pelumba trek sebelum ini, Jackson memenangi tiga jersi utama di perlumbaan ProSeries China itu apabila mengungguli jersi kuning keseluruhan, jersi hijau Raja Pecut dan jersi putih Pelumba Muda, selain menang Peringkat 3 dan 4.
Keyakinan sama diluahkan pakar pecut Tudor Pro Cycling Team kelahiran Herveld, Belanda, Arvid de Kleijn, 29, yang diberi jolokan ‘Little Gorilla’.
Dia baru saja memenangi Peringkat 4 Deutschland Tour di Hannover, 27 Ogos lalu, selain Peringkat 3 ZLM Tour pada Jun lalu dan Peringkat 3 Boucles de la Mayenne-Credit Mutuel pada Mei.
Bekas pelumba Rally Cycling dan Human Powered Health yang pernah bersaing dengan pakar pecut handalan dunia juga ada pengetahuan mengenai bentuk saingan di LTdL.
“Saya pernah mendengarnya (LTdL) dan amat yakin berada di sini kerana ada 2-3 rakan pelumba lain yang akan membantu dalama pecutan terakhir nanti. Selain kemenangan peringkat, saya juga mahukan jersi Raja Pecut,” katanya merujuk kepada Sebastian Kolze Changizi dan Maikel Zijlaard.
Sementara itu, pakar pecut Green Project-Bardiani CSF-Faizane, Enrico Zanoncello, mengakui ada mendengar kehebatan nama Andrea Guardini dalam LTdL dan dia mahu mengikut jejak langkah lagenda yang diberi jolokan Mr Langkawi itu.
“Saya datang dari bandar yang sama dengan tempat kelahiran Guardini dan buat masa ini, sasaran saya ialah sekurang-kurangnya satu kemenangan peringkat di sini,” kata pelumba 26 tahun kelahiran Isola della Scala yang meraih 4 kemenangan peringkat setakat musim 2023.9.22
Zanoncello yang tidak asing berlumba di benua Asia meraih kemenangan peringkat di Tour of Belgrade-Banjaluka; Jelajah Taiwan; Tour of Qinghai Lake dan terbaru, Peringkat 1 Tour of Taihu Lake, minggu lalu.
Sementara itu, sandaran Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Harrif Saleh juga tampil tenang dalam misinya menambah 3 koleksi kemenangan peringkat dalam LTdL.
Mencipta rekod tersendiri sebagai pelumba paling kerap bersaing dalam LTdL dengan kemunculan 14 kali sejak 2008, pelumba yang kini mencecah usia 35 tahun itu mahu mencipta sensasi di negeri kelahirannya pada edisi kali ini.
“Prestasi masa kini baik dan pasukan juga semakin menunjukkan peningkatan. Semua pelumba begitu bermotivasi untuk memulakan perlumbaan di negeri ini.
“Ini adalah saat yang istimewa dan saya rasa bertuah dipilih lagi untuk berlumba dalam LTdL ini. Kelebihan kami ialah cuaca dan bentuk laluan, dan bersaing dengan pakar pecut hebat pasukan dari Eropah bukanlah sesuatu yang baru bagi saya,” katanya yang disingkirkan daripada perlumbaan pada Peringkat 5 Kuala Kangsar-Kulim pada LTdL tahun lalu.
Dalam pada itu, pelumba EF Education-EasyPost, Simon Carr juga merasai kekecewaan pasukan itu tahun lalu apabila pelumbanya, Hugh Carthy gagal merampas jersi pendahulu daripada pelumba Movistar, Ivan Sosa hingga ke peringkat terakhir.
“Ya, kami pernah bercerita dan berbincang mengenainya. Setakat ini belum ada strategi khusus di Genting nanti tetapi kami yakin kerana ada beberapa pendaki yang berkebolehan dan berkayuh di Giro kali ini seperti (Jeferson) Cepeda dan (Christian) Van Der Lee,” kata pelumba Britain kelahiran Hereford yang menang dua peringkat di Tour of the Alps dan La Route d’Occitanie-La Depeche du Midi, tahun ini.
Sementara itu, Harold Martin Lopez Granizo, pelumba muda Astana Qazaqstan kelahiran Ecuador yang membuat kemunculan kali kedua dalam LTdL, berazam untuk menjulang namanya di Genting Highlands pada Peringkat 5 nanti.
“Saya sendiri berasa semakin kuat dan yakin selepas dua tahun bersama pasukan ini. Amat penting bagi saya membuktikan sesuatu dan kali ini kami ada barisan pelumba yang bagus.
“Vadim (Pronskiy) baru sahaja menamatkan perlumbaan di Vuelta dan sempat untuk pulih dan kami akan bersaing untuk jersi pendahulu. Walaupun Genting amat penting, eloklah kami memikirkan peringkat demi peringkat.
“Peluang sama juga terhidang kepada Gleb (Syritsa) di laluan landai,” kata pelumba berusia 35 tahun itu yang sedar ramai pelumba benua Latin mencipta nama dalam LTdL.
Sama ada landai atau berbukit, tidak mustahil penyarung jersi akan bertukar tangan setiap hari dalam saingan LTdL 2023 kali ini dan segala-galanya akan ditentukan selepas berakhir Peringkat 8 di pekarangan Menara Berkembar Petronas, 30 September ini.
Dengan tema ‘Beat The Heat’, jelajah edisi ke-27 kali ini dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), membabitkan jarak keseluruhan sejauh 1, 278.1km yang melalui 11 daripada 12 negeri di Semenanjung.
Seramai 128 pelumba daripada 22 pasukan, terdiri daripada dua pasukan WorldTeam, lapan pasukan ProTeam dan 11 pasukan Continental Team serta skuad kebangsaan Malaysia akan dilepaskan di garisan permulaan di Kerteh, pagi esok.
SENARAI PASUKAN LTDL 2023
BIL. | PASUKAN | KATEGORI | NEGARA DIDAFTARKAN |
1. | ASTANA QAZAQSTAN TEAM | UCI WORLD TEAM | KAZAKHSTAN |
2. | EF EDUCATION-EASYPOST | UCI WORLD TEAM | USA |
3. | CAJA RURAL-SEGUROS RGA | UCI PROTEAM | SEPANYOL |
4. | EQUIPO KERN PHARMA | UCI PROTEAM | SEPANYOL |
5. | EUSKALTEL – EUSKADI | UCIPROTEAM | SEPANYOL |
6. | GREEN PROJECT – BARDIANI CSF – FAIZANE | UCI PROTEAM | ITALI |
7. | TEAM CORRATEC – SELLE ITALIA | UCI PROTEAM | ITALI |
8. | HUMAN POWERED HEALTH | UCI PROTEAM | USA |
9. | TUDOR PRO CYCLING TEAM | UCI PROTEAM | SWITZERLAND |
10. | BOLTON EQUITIES BLACK SPOKE PRO CYCLING | UCI PROTEAM | NEW ZEALAND |
11, | TERENGGANU POLYGON CYCLING TEAM | UCI CONTINENTAL | MALAYSIA |
12. | 7ELEVEN CLIQQ – AIR21 BY ROADBIKE PHILIPPINES | UCI CONTINENTAL | FILIPINA |
13. | NUSANTARA CYCLING TEAM | UCI CONTINENTAL | INDONESIA |
14. | HENGXIANG CYCLING TEAM | UCI CONTINENTAL | CHINA |
15. | LI NING STAR | UCI CONTINENTAL | CHINA |
16. | GIANT CYCLING TEAM | UCI CONTINENTAL | CHINA |
17. | ST GEORGE CONTINENTAL CYCLING TEAM | UCI CONTINENTAL | AUSTRALIA |
18. | KSPO PROFESSIONAL | UCI CONTINENTAL | KOREA SELATAN |
19. | JCL TEAM UKYO | UCI CONTINENTAL | JEPUN |
20. | ROOJAI ONLINE INSURANCE | UCI CONTINENTAL | THAILAND |
21. | THAILAND CONTINENTAL CYCLING TEAM | CONTINENTAL | THAILAND |
22. | MALAYSIA NATIONAL TEAM | CONTINENTAL | KEBANGSAAN |