Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) hari ini dengan berbesar hati mengumumkan 99 Speed Mart Sdn Bhd iaitu rangkaian kedai serbaneka Malaysia, yang diasaskan pada tahun 1987 oleh En. Lee Thiam Wah di Klang, Selangor, selaku rakan penaja bagi Kejohanan FIH Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki, Kuala Lumpur, Malaysia 2023.

Majlis simbolik penyerahan “mork cheque” penajaan sebanyak RM 1.2 Juta telah berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil dan disempurnakan oleh Presiden KHM, Dato’ Sri Subahan Kamal bersama Pengarah Operasi Cawangan 99 Speed Mart Sdn Bhd, En. Yong Eng Kwang serta disaksikan oleh Bendahari KHM, En. Selvendran Saravanamuthu, Ketua Pegawai Eksekutif KHM, En. Nishel Kumar, Pengurus Pasukan Skuad Remaja Lelaki Kebangsaan, En. I. Vikneswaran dan Ketua Jurulatih Skuad Remaja Lelaki Kebangsaan, Muhamad Amin Rahim.

Presiden KHM, Dato’ Sri Subahan Kamal dalam sidang media yang berlangsung hari ini nyata gembira dengan kerjasama yang terjalin serta berharap lebih banyak syarikat-syarikat korporat tampil selaku penaja kerana penajaan seperti ini amat diperlukan terutamanya dalam membantu memastikan penganjuran Kejohanan FIH Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki 2023 yang memerlukan dana yang besar dapat dianjurkan dengan jayanya.

“Saya cukup berbesar hati dan terharu kerana 99 Speed Mart tampil dengan sendirinya kepada KHM dan menyatakan hasrat untuk membantu sukan di Malaysia terutamanya penganjuran Piala Dunia Remaja. Mereka turut menyatakan mereka merasakan sukan hoki mempunyai potensi besar dan berhasrat untuk tampil menaja.

“KHM sentiasa berusaha keras dalam mencari dana yang bukan sahaja bertujuan bagi penganjuran Piala Dunia Remaja tetapi juga membantu mempersiapkan pasukan. Dengan dana yang disumbangkan oleh 99 Speed Mart, ia akan digunakan dengan sebaiknya bagi penganjuran kejohanan juga persiapan pasukan menjelang Piala Dunia Remaja.

“Untuk mencari dana bagi penganjuran kejohanan yang besar seperti Piala Dunia Remaja ini bukan mudah, namun dalam beberapa minggu akan datang ini lebih banyak penaja akan tampil dan dalam bulan Oktober ini, kami akan memperkenalkan lagi barisan penaja bagi Kejohanan FIH Piala Dunia Remaja Lelaki 2023,” jelas Dato’ Sri Subahan.

Dalam masa yang sama, En. Yong Eng Kwang, Pengarah Operasi Cawangan 99 Speed Mart Sdn Bhd, turut berharap selepas penajaan yang diberikan oleh 99 Speed Mart ia akan membuka mata lebih ramai pihak untuk tampil membantu sukan tempatan.

“Sebagai salah satu pengusaha yang mengusahakan perniagaan tempatan, kami terpanggil untuk menaja sukan tempatan dan seperti yang diketahui ramai, hoki merupakan sukan bertaraf tinggi. Kami berharap penajaan ini mampu untuk membantu sukan hoki untuk terus berada dipersada yang tinggi seperti sekarang.

“Filosofi perniagaan kami adalah mementingkan rakyat tempatan dan kerjasama ini tidak akan terhenti setakat ini sahaja kerana kami ingin terus membantu pemain hoki dengan menyerap mereka sebagai warga kerja 99 Speed Mart pada masa akan datang,” jelas beliau.

- Advertisement -