PELUMBA Tudor Pro Cycling, Arvid de Kleijn memenangi Peringkat 6 PETRONAS Le Tour de Langkawi 2023 (LTdL), kali kedua buat dirinya, selepas mengungguli pecutan terakhir beramai-ramai di Dataran Pahlawan Melaka, hari ini.
Dalam kayuhan sejauh 174.5km dari Karak itu, De Kleijn yang mendapat kerjasama baik daripada rakan sepasukan menjelang kilometer terakhir, membuat henjutan pada waktu yang tepat untuk menafikan pelumba Human Powered Health, Sasha Weemaes dan pemenang Peringkat 2 di Kota Bharu, Gleb Syritsa (Astana Qazaqstan).
Pelumba kelahiran Belanda itu yang muncul pemenang kedua di Melaka dalam sejarah 27 edisi LTdL selepas Jans Koerts melakukannya pada 2001, merakam masa 4 jam 08 minit 19 saat, sekaligus mengumpul 15 mata lagi kepada 45 mata dalam senarai klasifikasi Raja Pecut untuk menyarung jersi oren KBS.
âSegala-galanya atas kerjasama berpasukan yang baik termasuk ruang yang dibuka rakan sepasukan Maikel (Zijlaard) menjelang selekoh terahir ke garisan penamat.
âSuatu ketika saya berasa memecut terlalu awal tetapi mujur saya dapat bertahan hingga penamat. Saya cukup gembira dengan prestasi masa kini dan akan terus memburu kemenangan peringkat lagi selepas ini,â kata pelumba 29 tahun itu yang sudah membuat ulangkaji bentuk laluan ke garisan penamat yang agak mendaki di Seremban 2, esok.
Tanpa saingan sengit daripada pencabar kedudukan keseluruhan lain, pelumba pasukan WorldTeam, EF Education-EasyPost, Simon Carr terus unggul mempertahankan jersi pendahulu hijau PETRONAS, 49 saat di depan rakan sepasukan Alexander Jefferson Cepeda dan pelumba Equipo Kern Pharma, Pablo Castrillo Zapater (58s).
Carr, 25, menganggap situasinya kini amat istimewa kerana tidak pernah menyarung jersi pendahulu sejak bergelar pelumba profesional.
âSatu kemenangan peringkat di sini (Genting Highlands) dan menyarung jersi pendahulu, ini adalah satu kejayaan dalam karier saya.
âDalam perlumbaan tadi, saya tidak berasa bimbang sedikit pun walau ada pencabar terdekat (Jambaljamts Sainbayar) yang membuat pemecahan awal kerana tiga rakan sepasukan mengawal kayuhan peloton dan dapat mengejar kumpulan di depan,â katanya lagi.
Jersi Raja Bukit TOURISM MALAYSIA masih dipegang pelumba Tudor Pro, Simon Pellaud yang juga berkayuh secara selamat dalam kumpulan besar. Dia masih memiliki 32 mata, 12 mata di depan pencabar terdekat Carr.
Sementara itu, pelumba Astana Qazaqstan Vadim Pronskiy juga terus menggenggam jersi putih BEAUTIFUL TERENGGANU buat hari kedua, selepas mengekalkan kelebihan 2 minit 7 saat di depan pelumba Terengganu Polygon Cycling Team, Sainbayar.
Usaha gigih Sainbayar di sepanjang laluan yang berbahang dengan cuaca panas terik dari mula hingga ke penamat hari ini, termasuk membuat pemecahan awal bersama pelumba Malaysia, Muhammad Nur Aiman Rosli dan pelumba Roojai, Polychronis Tzortzakis sebelum zon pecutan pertama.
Sainbayar turut agresif menyertai sekelompok pelumba depan bersama Logan Currie (Bolton Equities); Masaki Yamamoto (UKYO) dan Ilias Periklis (Li Ning Star) sebelum mereka ditangkap pada baki 6km terakhir, membolehkan pelumba Mongolia itu dinamakan sebagai penerima anugerah BUBBLESO2 âMost Combative Riderâ.
Peringkat 7 esok membabitkan kayuhan dari Muar ke Seremban 2 sejauh 123.8km, tanpa zon pendakian tetapi dengan tiga zon pecutan di Umbai (Km28.6); Cheng (Km47.8) dan Linggi (Km91) sebelum tamat di Dataran Centrio, Seremban 2.
Dengan tema âBeat The Heatâ, LTdL 2023 dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), membabitkan jarak keseluruhan 1,278km.