SELEPAS beberapa kali mencuba, pelumba Human Powered Health, Sasha Weemaes akhirnya meraih kemenangan Peringkat 7 PETRONAS Le Tour de Langkawi 2023 (LTdL) dari Muar ke Seremban 2, hari ini.

Pelumba kelahiran Sint-Niklaas, Belgium berusia 25 tahun yang mengecap kemenangan pertama dalam karier profesionalnya itu memecut laju dan mencuri angin di belakang penyarung jersi oren Raja Pecut tajaan KBS dri Tudor Pro Cycling, Arvid de Kleijn sebelum menghenjut dari sebelah kanan dan melintasi garisan penamat dengan masa 2 jam 31 minit 45 saat.

De Kleijn, pemenang Peringkat 1 dan 6, terpaksa berpuas hati di tempat kedua manakala pemenang Peringkat 2, Gleb Syritsa (Astana Qazaqstan) menduduki tempat ketiga dalam kayuhan sejauh 123.8km di bawah cuaca panas dengan purata kelajuan 47.37kmj – terpantas dalam LTdL 2023 setakat ini.

Weemaes berkata, dia memilih untuk berada di belakang De Kleijn yang berkayuh laju sebaik memasuki laluan berbukit ke garisan penamat sebelum memilih masa yang tepat untuk memulakan henjutan kira-kira 70 meter ke garisan penamat.

“Saya gagal beberapa kali sebelum ini tetapi sentiasa yakin kemenangan peringkat bukanlah sesuatu yang mustahil. Saya gembira dengan kemenangan hari ini dan berbangga dengan kerjasama keseluruhan pelumba pasukan kami,” katanya yang menduduki tempat kedua di Peringkat 1 dan 6 dan ketiga di Peringkat 3.

Bekas pelumba pasukan Sport Vlaanderen musim 2020-2022 sebelum menyertai Human Powered musim ini, berharap kemenangan hari ini akan mencerahkan perjalanan kariernya yang dirundung masalah kesihatan pada awal musim dan suram tanpa penaja pasukan itu untuk musim akan datang.

Beliau turut memuji perkembangan dan kemajuan sihat dalam perlumbaan ProSeries di benua Asia dan semakin menikmati saingan LTdL yang disifatkan bermutu tinggi dengan jalan raya yang baik, tahap keselamatan yang tinggi, infrastuktur yang bagus serta kualiti perlumbaan yang tinggi.

Sementara itu, De Kleijn menyifatkan ia bukan harinya untuk mencari kemenangan peringkat selepas Kuala Terengganu dan Melaka dan agak terkejut dengan purata kelajuan yang tinggi sejak awal perlumbaan.

“Hari ini, dia (Weemaes) lebih kuat dan saya kurang pantas. Sudah pasti saya sedikit kecewa tetapi masih ada peluang lagi esok,” kata pelumba Belanda itu yang kini mengumpul 63 mata dalam klasifikasi Raja Pecut, 15 mata di depan pencabar terdekat Weemaes.

Dengan jarak dianggap pendek dan tanpa zon pendakian sukar, penyarung jersi hijau PETRONAS, Simon Carr (EF Education-EasyPost) terus mengekalkan jersi pendahulu keseluruhan itu untuk hari ketiga berturut-turut selepas Genting Highlands dengan catatan masa keseluruhan 26 jam 05 minit 14 saat.

Pemegang jersi polka dot Raja Bukit TOURISM MALAYSIA sejak Peringkat 3, Simon Pellaud (Tudor Pro Cycling) juga sekadar berkayuh secara selamat di dalam kelompok besar dan kekal dengan 32 mata, 12 mata di depan Carr.

Jersi putih BEAUTIFUL TERENGGANU bagi Pelumba Terbaik Asia juga masih disarung pelumba Astana yang menduduki tempat kelima keseluruhan, Vadim Pronskiy yang masih selesa 2 minit 04 saat di depan pencabar dari Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Jambaljamts Sainbayar.

Tiga pelumba gagal bermula di garisan permulaan di Muar, menjadikan 112 pelumba yang meneruskan cabaran tetapi skrip perlumbaan tidak beruma dengan ramai yang cuba meloloskan diri, termasuk cubaan Sainbayar dan Valentin Midey (Roojai Online Insurance) yang berada di depan buat seketika tetapi ditelan peloton di pertengahan laluan.

Pada baki 70km, sekumpulan 9 pelumba juga berada di depan tetapi turut ditelan peloton yang dikemudi pelumba EF Education dan Tudor.

Berbaki 54km, Sainbayar dan pelumba JCL UKYO, Masaki Yamamoto pula meloloskan diri dan suat ketika berada 1 minit 40 saat di depan tetapi Sainbayar membuat keputusan untuk menyerah, dan Yamamoto secara solo berada di depan hinggalah ditangkap peloton pada baki 10km. Atas usahanya itu, pelumba Jepun itu diberi anugerah ‘Most Combative Rider’ tajaan BUBBLESO2.

Peringkat 8 dan terakhir sejauh 156.5km LTdL 2023 diteruskan esok dengan kayuhan yang bermula di Setia Alam Convention Centre di Shah Alam dan berakhir di pekarangan Menara Berkembar PETRONAS di Kuala Lumpur, mengandungi dua zon pendakian di Puncak Alam dan Meru serta tiga zon pendakian di Kapar, Sungai Buloh dan Paya Jaras.

Dengan tema ‘Beat The Heat’, LTdL 2023 yang berstatus ProSeries dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), membabitan jarak keseluruhan 1,278.1km.

- Advertisement -