Pusingan kesembilan Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix akan berlangsung di Kompleks Sukan Permotoran Tangkak pada hujung minggu ini.
Md Adam Haikal dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing akan mempertingkatkan lagi usahanya dalam kategori CP125.
Pelumba yang berasal dari negeri Johor telah tampil dengan aksi yang menakjubkan di kategori Wira KBS musim lepas apabila beliau meraih takhta kejuaraan dengan sepuluh kali podium termasuk satu kemenangan dan jumlah sebanyak 193 mata secara keseluruhan.
Musim ini agak berlainan bagi Adam, lebih-lebih lagi sebagai “rookie” dalam kategori CP125. Walaupun beliau menaiki podium sekali pada musim ini, jelas Adam masih memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan cabaran-cabaran baru di kategori ini.
Beliau kini menduduki tempat kelima secara keseluruhan dengan jumlah sebanyak 67 mata.
Menurut Adam, “Cabaran saya pada tahun ini adalah pencarian “setup” yang bagus bagi jentera saya. Saya sentiasa bekerjasama dengan pasukan saya untuk mencari “setup” yang baharu yang bersesuaian dengan keperluan litar dan cara tunggangan saya. Selain itu, saya juga harus berlumba dengan pelumba yang lebih berpengalaman. Bagi saya, perbezaan antara kategori Wira KBS dengan kategori CP125 adalah cara berfikir.
“Saya harus lebih cepat dan perlu lebih fokus. Cara tunggangan saya juga harus diperbaharui supaya lebih pantas di “entering corner” dan “exit”. Kelebihan saya di kategori CP125 adalah peluang belajar masih ada kerana saya masih baru dan saya boleh belajar dari kesilapan dan juga daripada abang-abang “senior”.
“Kelemahan saya adalah dari segi persaingan “braking” dengan pelumba-pelumba lain. Tetapi saya sentiasa cuba memperbaiki prestasi saya dengan “fitness” dan latihan motor.”
“Berlumba di litar Medini hari itu adalah suatu pengalaman baharu bagi saya. Dari segi cuaca, memang panas tetapi dari situ, saya juga dapat mempelajari dari segi mekanikal jentera saya. Saya juga sempat mencuba teknik tunggangan yang berbeza.
“Buat masa kini, saya banyakkan latihan untuk mempertingkatkan prestasi saya terutamanya dalam “braking”. Saya juga harus kuatkan lagi badan supaya dapat menangani masalah dalam litar. Matlamat saya bagi musim ini adalah untuk berada di tempat kelima teratas dan kalau boleh, menambah podium kali kedua.”katanya.