Skuad bolasepak bawah 23 tahun (B23) negara tewas tipis 1-2 kepada China B23 dalam aksi kedua perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 2 di Stadium Jinshan, China petang tadi.
Separuh kesebelasan utama dirombak Juan Torres Garrido yanbg mengemudi skuad B23 negara termasuk merehatkan kapten, Mukhairi Ajmal untuk menguji kemampuan pemain pemain.
Gawang Malaysia bolos seawal minit kelima hasil tandukan Du Yuesheng namun anak didik Juan Garrido tampak enggan mengalah dan menyamakan kedudukan menerusi tolakan mudah Aliff Izwan Yuslan yang menyambar bola muntah rembatan deras Syahir Bashah dari luar kotak penalti di minit 35.
Tao Qianglong kembali meletakkan China B23 didepan menyempurnakan sepakan percuma dari dalam kotak penalti pada minit akhir separuh masa pertama untuk mengubah perlawanan menjadi 2-1.
Tekanan semakin tinggi buat Malaysia apabila Aliff Izwan diperintah keluar padang selepas menerima kad kuning kedua pada penghujung permainan separuh masa pertama.
Biarpun beraksi dengan 10 pemain, anak didik Juan Garrido tetap kental menyerap asakan skuad kendalian Cheng Yaodong sekaligus kedudukan 2-1 memihak China B23 kekal hingga tamat perlawanan.
Aksi pertama, Harith Haiqal Adam Afka memastikan kemenangan untuk Malaysia untuk menang tipis 1-0.