Baru dua tahun menduduki kerusi selaku pengendali skuad bolasepak kebangsaan, penilaian yang diberi kepada Kim Pan Gon susulan aksi mengecewakan di pentas Piala Asia yang berlangsung di Doha, Qatar mungkin terlalu ‘kejam’.
‘Perbalahan’ susulan kemasukan pemain pemain yang dianggap tidak relevan dan membunuh rentak perlawanan diantara Malaysia dan Bahrain pada Sabtu berlegar di platform media sosial peminat bolasepak negara.
Apa yang berlaku mahupun keputusan yang dilakukan sepanjang kempen Piala Asia samada dari pihak Kim Pan Gon melibatkan senarai kesebelasan utama, pertukaran pemain dan strategi permainan pastinya ada alasan tersendiri walaupun pengendali kelahiran Korea Selatan itu memilih untuk tidak menjawab persoalan tentang pemilihan pemain.
Pan Gon memiliki barisan kejurulatihan yang akan memberi gambaran tentang keadaan pemain yang berada dibawah kendaliannya.
Semua pihak berhak untuk meluahkan pandangan, kritikan atau idea berhubung keputusan di Piala Asia, namun adakah adil untuk terus menunding jari sedangkan KPG hanya berada di Malaysia
Selepas sekian lama, Malaysia kembali semula ke pentas Asia dan mahu atau tidak, hakikatnya Harimau Malaya dibantu menerusi perubahan format pertandingan yang membuka ruang kepada 24 pasukan berbanding 16 pasukan.
Sepanjang ‘pemerintahan’ Kim Pan Gon di dalam skuad Harimau Malaya, ramai yang memberi pujian diatas perubahan yang dibawa hinggalah memberi kepada pujian kerana keputusan perlawanan kompetitif samada aksi persahabatan antarabangsa, kejohanan jemputan sehinggalah kepada kelayakan Piala Dunia 2026 / Piala Asia 2027.
Semua pasukan sentiasa melakukan persiapan, hanya yang menjadi pemisah, kualiti pemain yang membaca permainan dan menggunakan teknik berdasarkan pengalaman yang telah dilalui sebagai pemain kebangsaan.
Kita perlu terima hakikat, Malaysia masih jauh ketinggalan samada di rantau Asia Tenggara mahupun pentas Asia. Siapa sahaja yang mengurustadbir skuad kebangsaan mahu memberi yang terbaik tetapi memerlukan ruang dan masa yang mencukupi untuk buktikan formula yang dibawa akan memberi kesan.
Mengkritik itu tetap perlu, tetapi lihat kembali kepada fitrah bolasepak di Malaysia. Lantik sesiapa walaupun individu tersebut pernah membawa pasukan terdahulu menjulang Piala Dunia sekalipun, Malaysia masih jauh ketinggalan.
Jika tidak mampu bersama ketika KALAH, jangan bersorak ketika MENANG.