Shah Alam (Selangor): Pemain negara, Aiden Tai John Roberts memastikan gelaran juara Kejohanan Golf Remaja 100PLUS SRIXON menjadi milikinya dalam saingan Lelaki ‘A’meskipun berdepan tekanan terutama di penghujung permainan.

Catatan 78 pukulan 6 di atas par pada hari terakhir nyata mendebarkan namun berkelebihan lima pukulan didepan dua pemain, iaitu wakil negara Ezekiel Riz Hafi Suzearitz yang menutup hari terakhir dengan 76 pukulan 4 di atas par dan pemain Vietnam, Lee Minh Nghia yang mencatat 79 pukulan 7 di atas par di Kelab Golf Kota Permai, Kota Kemuning, Shah Alam.

Mendahului sejak hari pertama, Aiden sedikit gusar terutama di dua lubang terakhir sebelum menutup kejohanan dengan catatan terkumpul 223 pukulan 7 di atas par.

Kemenangan ini menandakan trofi ketiganya sepanjang musim 2024.

“Ianya merupakan penamat yang cukup mendebarkan. Saya berdepan kesukaran sepanjang permainan tetapi sedikit bertuah kerana rakan dalam ‘flight’ ini juga tidak berjaya untuk mengambil kesempatan. Memenangi kejohanan antarabangsa semestinya memberi maknya yang penting untuk saya dan membuktikan kerja keras yang telah dilakukan membuahkan hasil terutama aspek mental ketika di dalam permainan,”kata Aiden.

Sementara itu, saingan bagi Perempuan ‘A’ menyaksikan pemain India, Zara Anand melakukan catatan terbaiknya di kejohanan ini 73 pukulan 1 di atas par sekaligus berkelebihan 7 pukulan didepan pencabar tedekat dari Vietnam, Le Chuc An untuk mengesahkan status selaku juara.

Chuc An menutup hari terakhir dengan 79 pukulan 7 di atas par untuk catatan keseluruhan 233 pukulan 17 di atas par sekaligus akur untuk berpuas hati dikedudukan kedua.

“Saya bermain dengan lebih baik pada hari ini berbanding dua hari sebelumnya. Saya hanya memberi fokus satu lapangan demi satu lapangan. Kemenangan ini amat bermakna kerana membuktikan kerja keras yang telah saya lakukan susulan ketinggalan di awal kejohanan,”kata Zara.

Tempat ketiga menjadi milik pemain negara, Nur Batrisya Balqis Abdul Ghani yang mengumpul 239 pukulan 23 di atas par.

Lain lain keputusan, pemain Vietnam, Nguyen Bao Phat mengesahkan status selaku juara bagi Lelaki ‘B’ (13 tahun kebawah) selepas mengumpul 230 pukulan keseluruhan, berkelebihan lapa pukulan didepan Bae Jin Hyuk dari Korea Selatan manakala Perempuan ‘B’ menyaksikan Jane Sim dari Korea Selatan mengesahkan status sebagai juara selepas mengumpul 160 pukulan keseluruhan.

Hadiah kepada pemenang disampaikan Pengerusi Fraser & Neave Holding Bhd, Y.A.M Tengku Syarif Bendahara Perlis Syed Badarudin Jamalullail Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.

Turut hadir, Pengarah Hubungan Kerajaan dan Industri dan Hal Ehwal Halal F&N, Datuk Raffiq Ariff dan Pengurus Pemasaran 100PLUS, Sharon Tan.

Sejumlah 80 pemain dari 10 negara mengambil bahagian di Kejohanan Golf Remaja 100PLUS SRIXON yang merupakan kejohanan dibawah kalendar Ranking Golf Amatur Dunia (WAGR).

KEJOHANAN GOLF REMAJA 100PLUS SRIXON
KEPUTUSAN HARI TERAKHIR

LELAKI ‘A’
223 – Aiden Tai John Roberts (MAS) 74-71-78
228 – Ezekiel Riz Hafi Suzearitz (MAS) 79-73-76, Lee Ming Nghia (VIE) 75-74-79
230 – Mohd Rafiq Anugerah Ali 76-79-75
235 – Lim Hao Yu 78-82-75

PEREMPUAN ‘A’
226 – Zara Anand (IND) 76-77-73
233 – Le Chuc An (VIE) 74-80-79
239 – Nur Batrisyia Balqis Abdul Ghani (MAS) 86-77-76
246 – Ngo Yi Belle 78-90-78
247 – Nik Alicia Mirim Kamil 85-84-78

LELAKI ‘B’
230 – Nguyen Bao Phat (VIE) 75-81-74
238 – Bae Jin Hyuk (KOR) 80-79-79
242 – Choi Maru (KOR) 77-83-82
242 – Jarvis Liew (MAS) 8-78-83
250 – Han Jae Ho (KOR) 79-82-83

PEREMPUAN ‘B’
160 – Jane Sim (KOR) 81-79-77
258 – Mavis Chua (MAS) 85-87-86
260 – Kendra Garingalao (PHI) 82-84-94
261 – Chloe Lee 90-88-83, Lee Ji Yeon (KOR) 85-85-91

- Advertisement -