Malaysia membuka kempen Kelayakan Piala Asia Bawah 20 2025 dengan langkah kanan selepas menundukkan Oman 2-1 dalam aksi pembukaan kumpulan E di Stadium Republican Central, Dushanbe, Tajikistan.

Ternyata Oman tampak lebih mendomonasi perlawanan dan dihidangkan dengan beberapa peluang di dalam kawasan D Malaysia yang sukar untuk mengekang pemain lawan namun ketumpulan penyudah sedikit sebanyak melegakan Haziq Aiman yang mengemudi gawang Malaysia.

Anak didik Pau Marti Vicente membuka tirai gol di babak pertama menerusi penyudah Moses Raj di minit ke 30 berpunca daripada sepakan percuma Mohd Haikal Danish dan bijak memanfaatkan kelalaian penjaga gol Oman, Abdullah Al Jabri untuk menggegar gawang lawan.

Meskipun terdapat sedikit perbezaan dari aspek fizikal, Malaysia tampak tenang mengawal permainan dan lebih banyak mengawal bola meskipun berdepan asakan keras pemain Oman.

Minit 65, gerakan solo Haykal Danish gagal dibaca dengan baik pertahanan Oman yang dipimpin Ahmed Mubarak Al Alawi, Adnan Khamis Al Mushaifri dan Abdullah Al Ma’mari sekaligus memberikan penalti kepada Malaysia.

Haykal nyata tidak mensia siakan peluang untuk melebarkan jurang kepada 2-0 di minit ke 65 sekaligus mencerahkan lagi peluang untuk Malaysia meraih tiga mata pertama.

Oman bagaimanapun enggan menyerah kalah dan menggandakan asakan. Usaha mereka nyata membuahkan hasil apabila giliran Oman dihadiahkan penalti selepas Mohd Afiq Hakimi mengasari Faisal Al Hadidi di dalam kotak penalti.

Majid Al Farsi tenang menewaskan Haziq Aiman untuk merapatkan jurang 1-2 buat Oman di minit 88 namun ia sudah terlambat untuk sekurang kurangnya pulang dengan satu mata selepas kedudukan 2-1 memihak Malaysia kekal hingga tamat perlawanan.

Malaysia akan berdepan Korea Utara pada Isnin, 8.00 malam waktu Malaysia.

- Advertisement -