Sambutan Tahun Baru Cina tahun ini pastinya lebih bermakna buat sebahagian atlet negara apabila Frasier & Neaves Holding Bhd (F&N) dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN), serta Yayasan Bekas Atlet Kebangsaan (YAKEB) mengadakan program kolaborasi penyerahan sumbangan kepada 10 atlet semasa dan bekas atlet kebangsaan yang terpilih.

Tiga atlet semasa yang terpilih menerima sumbangan Yow Mei Yee (Taekwondo), Danny Ng Wann Sing (Ping Pong), dan Lee Chee Hong (Para Boccia)

Manakala tujuh lagi bekas atlet negara iaitu Yan Chun Aoi (Bowling), Perry Khoo Eu Hock (Hoki), Chan Mai Lan (Para catur), Ho For Sen (Bola Keranjang), Yan Chee @ Chin Kok Chee (Angkat Berat), Fong Chein Wai (Karate Do) dan seorang bekas atlet sukan Wushu, Ng Fook Huat yang berada di Ipoh, Perak turut di raikan.

Lee Chee Hong berterima kasih diatas sumbangan oleh semua pihak yang terlibat dalam program ini dan berharap sambutan tahun Baru Cina tahun ini lebih bermakna.

“Saya bersyukur apa yang telah 100PLUS berikan kepada saya dan mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina, semoga tahun ini adalah yang terbaik untuk anda,”kata Chee Hong.

Ng Fook Huat juga menzahirkan ucapan penghargaan dengan sumbangan yang diberikan.

“Saya rasa bersyukur kerana ada pihak yang datang dan menziarahi kami dan menyampaikan sumbangan ‘ang pau’ dan minuman. Saya sudahpun berusia 84 tahun, menyertai sukan Asia pada 1990. Walaupun tidak menyumbang pingat tetapi saya berbangga dapat mewakili Malaysia ketika itu,”kata Fook Huat.

Sementara itu Pengurus Pengurusan Acara dan Penajaan, F&N, Muhd Fauzi Ahmad berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan MSN dan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) untuk memberi sumbangan bagi meringankan beban atlet dan bekas atlet negara yang banyak berkorban untuk negara.

“kami daripada pihak F&N ingin meneruskan tradisi untuk menyantuni dan menghargai bekas bekas atlet yang banyak menyumbang kepada negara dan kami berharap sumbangan kecil ini dapat membantu mereka untuk membuat persediaan untuk menyambut Tahun Baru Cina,” kata Muhd Fauzi.

Pengerusi Yakeb, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata: “Ini adalah edisi kedua untuk membantu atlet dan bekas atlet untuk menyambut Tahun Baru Cina.

“Kali ini kita bukan sahaja buat di sekitar Lembah Kelang tetapi ke Ipoh untuk membantu seorang bekas atlet di sana. Kami di Yakeb mengucapkan terima kasih kepada Majlis Sukan Negara (MSN) dan F&N yang turut membantu dan menyantuni mereka,”kata Datuk Noorul Ariffin.

TAMAT

- Advertisement -