Selepas tiga minggu berkampung di bumi Bangkok, 1001 cerita dibawa puang barisan kejurulatihan dan pemain pemain yang beraksi di dua kejohanan Terbuka Thailand dan BWF Final Jelajah Dunia.
Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann mungkin tidak perlu menjadikan tiga kejohanan ini sebagai medan untuk menilai prestasi sebenar para pemain memandangkan ini merupakan kejohanan antarabangsa pertama yang disertai selepas ‘terkurung’ di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara untuk menjalani latihan sepanjang tempoh fasa Perintah Kawalan Pergerakan oleh kerajaan.
Namun pada masa yang sama, segala kekurangan perlu dinilai dengan teliti untuk menambahbaik sebarang kekurangan bagi menambahbaik sistem latihan dan persiapan sedia ada yang telah dirancang.
Bergu muda negara pastinya menerima pujian daripada Choong Hann diatas pencapaian yang terhasil di dua kejohanan Terbuka Thailand.
“Kita dapat lihat keputusan yang memberansangkan daripada bergu wanita, bergu campuran muda serta Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean. Walaubagaimanapun, banyak kerja yang perlu dilakukan untuk mengurangkan jurang dengan pemain pemain terbaik.
Bergu lelaki menunjukkan peningkatan terhadap kelajuan, kekuatan dan permainan aggresif dan boleh digunakan untuk proses pembangunan dan elemen ini perlu dikekalkan sebagai teras utama untuk mereka terus membangun. Selepas keadaan mereka stabil dalam mengendali kelajuan dan kekuatan, mereka akan lebih konsisten untuk memenangi perlawanan,”kata Choong Hann.
Mengulas tentang prestasi perseorangan muda negara, Lee Zii Jia, barisan kejurulatihan akan melihat semula sebarang kekurangan terhadap program latihan sedia ada.
“Ia memberi kita ‘amaran’ dan kami akan mengkaji kekurangan yang berlaku ketika melakukan persiapan. Kita telah mengenal pasti dan akan menyusun atur latihan untuknya (Lee Zii Jia). Banyak yang telah beliau pelajari ketika ini, kami yakin perkara ini akan dapat diselesaikan,”kata CHoong Hann lagi.
Pandangan yang sama disuarakan Ketua Jurulatih perseorangan lelaki, Hendrawan, “Kita akui, tiga kejohanan yang disertai tidak begitu baik kerana nampak dia kehilangan kepercayaan diri dan ragu ragu ketika membuat keputusan.
“Kita akan menilai semula dan akan menambah baik latihannya dan kelihatan juga pemain lawan sudah membaca cara permainan Lee Zii Jia,”kata Hendrawan.
Dalam pada itu, bergu wanita negara, Lee Meng Yean melihat, inisiatif BAM untuk menganjurkan pertandingan dalaman membantunya dan Chow Mei Kuan dan antara faktor yang membawa mereka sehingga ke peringkat separuh akhir Final Jelajah Dunia semalam.
“Saya rasa usaha BAM untuk anjurkan pertandingan dalaman membantu kami untuk mendapatkan suasana pertandingan selepas hampir sembilan bulan kami menjalani latihan,”kata Meng Yean.
Ketua Jurulatih bergu wanita Chan Chong Ming turut berkongsi kegembiraan terhadap prestasi anak didiknya, yang mempamer aksi yang cemerlang spanjang di Bangkok.
“Saya berpuas hati dengan pencapaian tiga bergu wanita, termasuk Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean yang menewaskan Greysia Polii-Apriyani Rahayu ketika di saingan BWF Final Jelajah Dunia serta Pearly Tan-M Thinaah yang menewaskan Chang Ye Na-Kim Hye Rin di Toyota Terbuka Thailand. Ia merupakan petanda yang baik untuk mereka dan barisan kejurulatihan bergu wanita.
“Sekembalinya kami dari Thailand, saya mahu memfokuskan latihan individu yang melibatkan aspek kemahiran, kelajuan, dan kekuatan,”kata Chong Ming
Kesemua pemain, pegawai dan barisan kejurulatihan akan menjalani proses kuarantin wajib selama seminggu seeprti yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum kembali semula ke Akademi Badminton Malaysia (ABM).