Jaguh beregu kebangsaan Aaron Chia dan Soh Wooi Yik akan mengibar jenama 100PLUS apabila sah memeterai perjanjian dua tahun dengan 100PLUS, minuman isotonik nombor satu di Malaysia.
Aaron dan Wooi Yik menyusuli jejak langkah lagenda negara dan ikon nasional, Datuk Wira Lee Chong Wei dan bintang perseorangan nombor satu negara Lee Zii Jia sebagai Duta Jenama. Chong Wei, pemenang tiga pingat di Sukan Olimpik, telah menjalin perkongsian dengan 100PLUS sejak 2009 manakala Zii Jia menjadi duta jenama berkenaan sejak tahun lepas.
Pemain berasal dari Melaka, Aaron, 23, serta rakan gandingan Wooi Yik, 22, telah menghasilkan impak besar di pentas antarabangsa selepas berjaya menembusi ranking 10 teratas BWF, dengan tangga ke-9 sebagai kedudukan paling tinggi sebelum tercetusnya wabak Covid-19. Kemungkinan bagi pasangan itu untuk terus melonjak amat besar apabila pertandingan disambung semula nanti.
“Aaron dan Wooi Yik mempunyai masa depan yang cerah, apatah lagi dengan semangat tinggi, sentiasa bekerja keras selain berbakat dan mempunyai potensi yang amat besar. Pada kadar prestasi mereka kini, pasangan ini pasti akan memenangi kejuaraan yang besar,” kata Pengurus Pemasaran Kanan 100PLUS, Cik Leong Wai Yin hari ini. “Kami mempunyai keyakinan penuh ke atas pasangan ini dan sebab itulah kami menandatangani mereka sebagai Duta Jenama kami.”
Selain Wai Yin, turut hadir pada Majlis Menandatangani perjanjian berkenaan termasuk Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, Setiausaha-Agung BAM Datuk Kenny Goh, Konsultan 100PLUS, Datuk Kamal Harun dan Pengarah Urusan Timur Jauh Victor Malaysia, Datuk Alex Ong.
“Sokongan 100PLUS ke atas badminton sememangnya sinonim dan merupakan bukti keyakinan mereka terhadap kami dan paling utama, pengiktirafan terhadap segala usaha kami. 100PLUS sememangnya sentiasa menaja pemain ternama, jadi tentunya ini sesuatu yang amat memberansangkan dan akan menjadi inspirasi kepada kami untuk mencapai kejayaan lebih besar,” kata Aaron hari ini. “Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada BAM dan 100PLUS di atas sokongan mereka dan menjadikan penajaan ini satu kenyataan.”
Dengan penangguhan dan pembatalan pelbagai kejohanan sejak beberapa bulan lepas dan dengan Sukan Olimpik yang semakin hampir, Aaron dan Wooi Yik pastinya teruja untuk kembali beraksi sebaik sahaja keadaan bertambah baik dan saingan disambung semula.
“Sejak beberapa bulan lepas, kami telah menjalani latihan keras dan bermain dalam kejohanan BAM. Tetapi pada masa ini, kami teruja menunggu pertandingan bersambung semula sepenuhnya agar kami dapat beraksi dan kembali memenangi pertandingan.”
Di bawah perjanjian penajaan berkenaan, Aaron dan Wooi Yik akan dibekalkan dengan 100PLUS ACTIVE sepanjang latihan dan pertandingan. Pasagan beregu berkenaan akan mendapat manfaat dari minuman 100PLUS ACTIVE yang mempunyai formula tanpa berkarbonat khas untuk segera menghidrasi semula, menggantikan cecair dan elektrolit yang hilang semasa latihan dan bersukan dan memberi semula tenaga dengan Vitamin B3, B6, B12.Â
100PLUS, yang merupakan penaja perak pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, sudah sinonim sebagai penyokong sukan terbesar di negara ini. Antara persatuan sukan kebangsaan utama yang ditaja oleh 100PLUS termasuk Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).Â
100PLUS merupakan Minuman Isotonik Rasmi bagi Liga Bolasepak Malaysia dan Minuman Yang DiSyorkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN).