Bergu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik memulakan pusingan round robin Final Jelajah Dunia dengan bergaya selepas menundukkan gandingan Korea Selatan, Choi Solgyu-Seo Seung Jae.

Turun dengan status pilihan kedua, Aaron dan Wooi Yik memerlukan 38 minit untuk menutup aksi pembukaan dengan kemenangan straight set 21-14, 21-19.

“Perlawanan hari ini memang kita puas hati kerana kami berbincang dan berjaya membaca cara permainan lawan,”kata Aaron.

Manakala Soh Wooi Yik pula menjelaskan “terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang memberi sokongan kepada kami dan akan berikan yang terbaik untuk capai sasaran.”

Nasib berbeza dialami satu lagi bergu lelaki, Ong Yew Sin-Teo Ee Yii yang diletak selaku pilihan keempat apabila tewas kepada pilihan pertama dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin.

Gandingan Taiwan yang merupakan juara berganda Terbuka Thailand melakar kemenangan straight set 21-18, 24-22.

Sementara dalam saingan bergu wanita, aksi melibatkan dua bergu negara berakhir dengan kemenangan memihak Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean.

Turun menentang Vivian Hoo-Yang Cheng Wen, Mei Kuan-Meng Yean menang 21-16 di set pertama, namun tumpas 10-21 di set kedua.

Namun mereka Mei Kuan dan Meng Yean bangkit dengan lebih kemas di set penentuan untuk menang 21-15.

“Kemenangan ini adalah kerana kami lebih konsisten dan kami tidak mudah memberikan mata kepada mereka dan cuba untuk tidak ketinggalan terlalu jauh.

“Permainan bersifat rally panjang dan kami cuba untuk kekal tenang dan sabar untuk meraih mata,”kata Lee Meng Yean.

Lewat petang nanti, perseorangan negara Lee Zii Jia akan turun menentang pilihan ketiga, Chou Tien Chien dari Taiwan serta bergu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie akan turun menentang pilihan kedua dari Jerman, Mark Lamsfuss-Isabel Herttrich.

 

- Advertisement -