Ketika lensa kamera dan media tertumpu kepada Nur Amirul Fakhruddin, hari pertama Jelajah Malaysia edisi ke 53 sebenarnya turut menjadi milik pelumba kelahiran Indonesia, Abdul Gani yang beraksi bersama pasukan KFC Cycling.
Usaha keras pemuda berusia 25 tahun itu sekadar meletakkannya di tangga kedua dibelakang Amirul yang muncul juara peringkat pertama.
Namun, kejutan datang kepadanya selepas beberapa ketika apabila diumumkan sebagai pemenang jersi kuning susulan kesilapan Nur Amirul Fakhruddin Mazuki yang melanggar peraturan.
“Saya terkejut kenapa jurulatih memaklumkan akan menaiki podium dan memenangi jersi. Sudah pasti jersi kuning menjadi rebutan semua pelumba dan bukan mudah untuk mempertahankannya.
“Kemenangan ini adalah satu sejarah buat pasukan KFC kerana berjaya memenangi jersi kuning buat pertama kalinya,”kata Abdul Gani.
Sementara itu, pelumba muda kelahiran Australia, Ryan Thomas wajar diberi perhatian kerana melaungkan amaran bakal memberikan tentangan sepanjang saingan Jelajah Malaysia tahun ini.
Meskipun pertama kali berlumba di Malaysia, Ryan mengakui cuaca panas sedikit sebanyak menganggu rentak perlumbaannya.
“Kami akan cuba menyesuaikan keadaan cuaca di sini kerana ini adalah perlumbaan pertama saya di Malaysia.
“Kami akan cuba memberikan saingan khsusunya perebutan jersi kuning dari satu peringkat ke satu peringkat yang seterusnya,”kata Ryan.
Perlumbaan peringkat kedua akan bermula pada Rabu 4 Oktober dari Lumut ke Kuala Kurau dengan jarak 145.3 kilometer. – OLEH KU MOHD LUFTI