sea_games_2017Oleh Muhammad Aiman

Pemenang pingat emas acara lompat jauh Sukan Paralimpik Rio De Janeiro 2016, Abdul Latif Romly tidak menyembunyikan keinginannya untuk membuat penampilan di Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 jika diberi peluang.

Abdul Latif melakar sejarah apabila tiga kali memperbaharui rekod dunia miliknya sendiri dengan catatan 7.60m dalam laluan meraih emas ketiga negara di temasya sukan terbesar dunia itu pada 11 September lalu – pencapaian yang lantas menyaksikan nama atlet berusia 19 tahun itu disebut-sebut mempunyai keupayaan boleh menandingi atlet normal.

“Setakat ini belum ada sebarang kepastian, saya cuma mendengar dari media bahawa Menteri Belia dan Sukan (Khairy Jamaluddin) memberi lampu hijau. Sekiranya ada pengesahan rasmi, ia sudah tentunya satu yang cukup menggembirakan.

“Saya tidak pasti sama ada boleh menyumbang emas atau tidak di Sukan Sea, tetapi saya cukup teruja untuk diberi peluang bersaing dengan atlet-atlet normal,” ujar Abdul Latif kepada pemberita pada majlis meraikan kepulangan kontijen paralimpik negara di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Khairy sebelum ini bukan sahaja menyambut baik, malah turut memberi galakkan kepada Andul Latiff yang dilaporkan berminat untuk beraksi di temasya dwitahunan itu, lebih-lebih catatan rekod dunia paralimpik 7.60m milik atlet dari Perlis itu sudahpun mengatasi had kelayakan minima Sukan Sea iaitu 7.56m.

Untuk rekod, Abdul Latif juga memenangi pingat emas di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak pada Julai lalu menewaskan atlet normal dengan lompatan sejauh 7.46m.

Sementara itu, mengenai lompatan emasnya di Rio, Abdul Latiff berkata, “Setelah melihat dua rakan saya (Ridzuan Puzi dan Ziyad Zulkifli) meraih emas, saya katakan pada diri saya juga mahu meraih emas. Saya tidak mahu kecewakan ibu bapa, keluarga dan rakyat Malaysia yang mendoakan saya. Saya kerah kudrat sehabis terdaya pada setiap lompatan dan gembira usaha itu berakhir dengan emas.”  

- Advertisement -