Atlet lompat jauh paralimpik negara, Abdul Latiff Romly tidak mahu kecewa berulang kali kedua.
Setelah gagal menyerlah di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 bulan lalu, Olahragawan Kebangsaan 2016 itu tekad mahu mempertahankan pingat emas buat kali ketiga berturut-turut di Sukan Para ASEAN.
Hasrat Abdul Latiff untuk mengecap kejayaan manis dalam penampilan sulung di pentas Sukan SEA tidak kesampaian apabila dia mengalami keracunan makanan sehari sebelum acaranya berlangsung.
Terpaksa meneruskan aksi dalam keadaan lemah, Abdul Latiff sekadar menamatkan saingan di Stadium Nasional Bukit Jalil di tempat ketujuh dengan lompatan sejauh 7.34m.
“Ia satu pengajaran yang berguna buat saya, memang selama ini pun saya sentiasa peka dengan pemakanan tetapi benda dah terjadi. Selepas ini saya akan lebih berhati-hati supaya kejadian sama tidak berlaku lagi.
“Memang kecewa lah gagal untuk meraih sebarang pingat dalam penampilan sulung Sukan SEA tetapi saya janji, jika tiada aral, saya akan hadiahkan emas buat negara. Saya tahu saya boleh lakukannya sekali lagi,” ujar atlet kelahiran Perlis itu.
Pencapaian terbaik Abdul Latiff tahun ini adalah memenangi emas di Kejohanan Olahraga Para Dunia di London pada Julai lalu dengan lompatan 7.37m yang sekaligus memperbaharui rekod kejohanan 7.35m miliknya sendiri.
Abdul Latiff juga merupakan pemegang rekod dunia dengan catatan 7.60m dan dia tidak menafikan akan cuba untuk memperbaharui rekod itu yang dilakukan ketika memenangi emas di temasya Paralimpik Rio September tahun lalu.
“Pingat emas dan rekod dunia, saya akan cuba. Azam saya cukup tinggi, ini kejohanan terakhir saya tahun ini dan saya mahu menamatkan 2017 dengan cemerlang. Saya juga akan menjadikan Para ASEAN ini untuk layak ke temasya Sukan Para ASIA yang akan berlangsung di Jakarta tahun depan,” tambahnya lagi. OLEH MUHAMMAD AIMAN