Pemain pertahanan Pahang, Matthew Davies menganggap Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) adalah pentas terbaik bagi mengiktiraf segala usaha dan jasa yang dicurahkan oleh pemain tempatan.
Davies yang pernah merangkul gelaran Pemain Pertahanan Terbaik ABK 2017 berkata, berada di pentas berprestij itu semestinya menjadi impian buat mana-mana pemain.
Pemain kebangsaan itu sekali lagi tercalon dalam kelompok tiga terbaik untuk merangkul Anugerah Pemain Pertahanan Terbaik ABK 2019 bersama pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) Corbin Ong dan pemenang tahun lalu, Shahrul Saad.
“Tahun ini kita dapat lihat ramai pemain yang sentiasa mempamerkan prestasi cemerlang dan saya sedar bukan senang untuk saya rebut gelaran buat kali kedua.
“Walau apa pun, untuk tercalon dalam tiga terbaik sudah cukup bermakna untuk saya dan saya percaya hanya pemain yang benar-benar terbaik akan dinobatkan sebagai pemenang nanti,” katanya.
Bermula dengan kemenangan meraih trofi Pemain Muda Terbaik ABK 2015, Davies mengakui saban tahun anugerah berprestif itu terus memberi satu kelainan tersendiri dalam menghargai penat lelah pemain-pemain bolasepak Malaysia.
Bahkan, persaingan yang ditampilkan daripada pemain lain kian meningkat untuk memastikan mereka juga turut tercalon dalam anugerah ini termasuklah dirinya yang tidak pernah berputus asa untuk terus berada dalam kelompok terbaik sejak 2015.
“Sebenarnya satu perasaan yang sukar digambarkan apabila kita sebagai pemain dihargai seperti itu dan dapat sama-sama meraikannya dalam satu anugerah berprestij.
“Saya percaya sekiranya kita berusaha dengan lebih kuat, kita akan mendapat pengiktirafan yang sepatutnya suatu hari nanti”, tambahnya.
Dalam pada itu, Shahrul selaku pemenang tahun lalu menyifatkan dua pemain naturalisasi negara ini iaitu Corbin dan Davies bukan calang-calang pemain dan peluang agak tipis untuknya mempertahankan trofi itu pada tahun ini.
“Sudah tercalon dalam kelompok tiga terbaik pun sudah cukup baik untuk saya tetapi untuk memenanginya sekali lagi pada tahun ini memang agak sukar.
“Davies ada auranya yang tersendiri baik dalam pasukan Pahang dan skuad kebangsaan, begitu juga dengan Corbin Ong yang telah berjaya raih dua kejayaan bersama JDT iaitu Juara Liga Super dan Piala Malaysia 2019”, katanya.
Bagi tonggak pertahanan JDT, Corbin Ong pula mengakui prestasinya sepanjang musim ini banyak dibantu oleh rakan sepasukan.
“Diiktiraf untuk anugerah ini sudah dianggap satu penghormatan besar serta menjadi bukti terhadap kejayaan yang diperolehi pasukan saya musim ini, tanpa mereka tidak mungkin saya mempunyai peluang untuk berada seperti hari ini.
“Shahrul dan Matt Davies adalah dua pemain yang cukup berkualiti malah saya cukup bertuah dapat mengenali mereka serta bermain bersama dalam skuad kebangsaan. Sesiapa sahaja yang menang,saya gembira selepas mampu menempatkan diri dalam senarai pencalonan akhir,” katanya.
ABK 2019 yang menjadi acara kemuncak arena bola sepak tanah air bakal berlangsung pada 15 November ini.