Penyokong bola sepak tempatan menganggap usaha Malaysian Football League (MFL) untuk menganjurkan Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 20 Virtual mampu menyemarakkan lagi semangat penyokong dan pasukan Liga Malaysia disebalik pandemik COVID-19 yang berlaku ketika ini.
Meskipun ABK20 hanya dianjurkan secara maya pada musim ini berbanding pada tahun-tahun sebelumnya, namun penyokong-penyokong percaya ABK20 Virtual tetap akan menampilkan tarikan tersendiri khususnya untuk menghargai pemain dan pasukan yang telah bertungkus lumus sepanjang musim 2020.
Bagi penyokong pasukan Kuala Lumpur, Mohd Khairul Nizam Arifin, MFL hadir dengan langkah yang tepat untuk menganjurkan ABK20 Virtual di samping turut membabitkan 30 peratus undian penyokong dan usaha ini dilihat mampu menaikkan moral pemain dan pasukan sebelum mereka kembali bersedia untuk mengharungi saingan musim 2021 nanti.
āSaya boleh katakan usaha MFL untuk menganjurkan ABK20 Virtual sebagai inisiatif yang menarik untuk membantu menaikkan kehangatan bola sepak Malaysia pada ketika kita sedang berdepan pandemik Covid-19.
āIni juga boleh membuatkan bukan sahaja kita sebagai penyokong tetapi pasukan juga untuk lebih bersedia menghadapi Liga Malaysia 2021 nanti kerana anugerah ini pastinya akan memberikan semangat baru kepada mereka selepas penat lelah mengharungi musim 2020.
āApatah lagi, kami sebagai penyokong dapat terlibat sekali dalam proses undian kerana ini dapat membuatkan penyokong rasa mereka juga ada kepentingan untuk menentukan siapakan bakal bergelar pemenang,ā katanya.
Dalam pada itu, Presiden Kelab Penyokong Anak Selangor (ASFC), Mohd Faizal Wahid pula tidak menolak persaingan yang cukup sengit dipertandingkan kali ini bagi lima kategori selepas saingan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim ini hanya berlangsung separuh pusingan manakala TM Piala Malaysia dan Piala FA dibatalkan akibat COVID-19.
Justeru, sudah pasti bukan mudah untuk menentukan pemenang yang paling layak dan setiap kriteria diambil kira untuk mereka memilih pemain manakah yang mampu mengungguli setiap kategori dipertandingkan.
āIni kali pertama kami sebagai penyokong dapat menjadi sebahagian daripada undian untuk undi calon-calon kegemaran masing-masing.
āMacam saya, sudah tentulah saya akan pilih pemain-pemain yang memberikan lebih 100 peratus dalam pasukan dan di atas padang kerana pemain adalah tunjang kepada pasukan, jadi kita kena pastikan mereka yang betul-betul layak sahaja untuk bergelar pemenang.
āApatah lagi musim ini adalah pendek, jadi prestasi pemain kadang- kadang tidak menentu dan sebab itu setiap kriteria kita akan nilai sebaiknya kerana 30 peratus undian kami juga memainkan peranan penting untuk menentukan pemenang,ā jelasnya.
Konsep undian penyokong diambil kira memandangkan perlawanan musim ini terpaksa disingkatkan akibat pandemik COVID-19.
Senarai 10 calon yang terpilih bagi setiap kategori ini akan dihantar kepada juri profesional yang terdiri daripada 24 ketua jurulatih, 24 ketua pasukan dan 24 wakil media bagi menyumbang 70 peratus kiraan.
Baki 30 peratus akan diundi oleh penyokong bermula jam 10 pagi, esok sehingga Jumaat (25 Disember 2020) 11.59 malam.
50 calon melibatkan 40 pemain dan 10 jurulatih Liga Malaysia akan bersaing bagi kategori Penjaga Gol Terbaik, Pertahanan Terbaik, Pemain Tengah Terbaik, Penyerang Terbaik dan Jurulatih Terbaik.