sea_games_2017Oleh Ku Mohd Lufti

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Abu Samah Wahab akur dengan keputusan ahli Majlis Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) untuk tidak menyenaraikan acara basikal bukit (MTB) ke dalam Sukan SEA 2017.

Malah, mesej yang sama turut ditujukan kepada Ahli Gabungan Kongres Persatuan Berbasikal ASEAN (ACA) yang berhasrat untuk memboikot acara berbasikal andai acara MTB tidak disenaraikan.

“Kebanyakkan yang menyuarakan hasrat untuk memasukkan acara MTB adalah jurulatih jurulatih. Keputusan sudahpun dibuat dan semuanya terpulang kepada mereka (ACA). Saya berharap agar tiada tindakan yang tidak melambangkan semangat kesukanan dilakukan.” Kata Datuk Abu Samah ketika dihubungi.

Datuk Abu Samah di jangka akan mengadakan perjumpaan dengan wakil wakil Kongres dalam masa terdekat.

“Saya akan berjumpa dengan wakil Thailand dalam waktu terdekat manakala selebihnya ketika Kongres Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di Doha, Qatar Oktober nanti,” katanya lagi.

Awal Julai lalu, ACA menyuarakan ugutan kepada penganjur Sukan SEA 2017 untuk memboikot kesemua acara berbasikal andai acara basikal bukit tidak disenaraikan.

SEAGF memutuskan untuk menyenaraikan 20 acara bagi sukan berbasikal melibatkan lebuhraya, trek, dan BMX di Sukan SEA 2017 nanti.

Kali terakhir acara basikal Bukit diadakan di temasya Sukan SEA adalah pada tahun 2013, di Myanmar.

- Advertisement -