Azraai

Pengendali Negeri Sembilan, Azraai Khor Abdullah bimbang nasib pasukan itu tidak dapat diselamatkan seandainya gagal mendapatkan seorang penyerang tulen dengan sentuhan jaringan tajam pada jendela perpindahan kedua Mei nanti.

Negeri Sembilan mengalami kekalahan kelima musim ini setelah tewas kepada Selangor pada Sabtu yang sekaligus menyaksikan mereka kekal di tangga tercorot tatkala Azraai yang dilantik menggantikan Jorg Steinbrunner pada Februari lalu masih mencari kemenangan pertamanya.

Justeru, bekas pengendali Kelantan dan Kedah itu sangat mengharapkan Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan akan bersetuju dengan cadangannya untuk mendapatkan penggempur baru bagi memperkasa sentuhan penyudah yang begitu tumpul – menjaringkan hanya lima gol dalam lapan perlawanan (termasuk Piala FA).

“Kita perlukan seorang pemain yang boleh menjaringkan gol, penyerang yang kita ada sekarang lebih sesuai sebagai penyerang sokongan, bukan penyerang utama lebih-lebih lagi dia bertubuh kecil. Contohnya Selangor ada Rufino (Segovia) dan Amri (Yahyah) memberi sokongan dari belakang.

“Kalau kita mahu kekal dalam Liga Super perubahan perlu dibuat. Kita perlukan penyerang yang melancarkan serangan, bukan yang hantar jer hilang bola. Memang saya belum mempunyai calon untuk dibawa masuk, tetapi akan tengok pada kesesuaian, berkemungkinan besar dari ASEAN. Saya kena bincang dengan pengurusan dan merangka Pelan A dan Pelan B,” kata Azraai. 

Barisan depan pasukan Hoben Jang Hoben diterajui Nicolas Velez yang baru pulih dari kecederaan – pemain ini kali terakhir menjaringkan gol adalah ketika Negeri Sembilan mencatat satu-satunya kemenangan setakat ini dengan menewaskan Kuala Lumpur 2-0 pada aksi kedua Februari lalu.

Kelibat seorang lagi penyerang import, Mony Prak Udom (gambar utama) dari Kemboja pula dilabel sebagai setaraf pemain tempatan sahaja dan dia antara yang dijangka disingkirkan Negeri Sembilan di jendela perpindahan.

Begitupun, skuad Negri Sembilan yang kembali beraksi dalam Liga Super selepas lima musim turut mempunyai beberapa pemain tempatan berkualiti yang boleh beraksi di posisi serangan antaranya N.Thanabalan, Khairul Izuan Rosli, Ferris Danial dan Fakhrul Aiman Sidid jadi sudah tentu ia cukup mengecewakan apabila mereka berdepan masalah menjaringkan gol walaupun dengan adanya begitu ramai pemain penyerang di dalam pasukam. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -