annuar

Oleh Muhammad Aiman

Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) terus bermain ‘wayang’ mengenai penyertaan mereka dalam saingan Liga Malaysia musim depan, apabila sekali lagi menyatakan mereka berkemungkinan besar akan menarik diri gara-gara masalah kewangan tenat.

Perkara itu disahkan Bendahari KAFA, Nik Aminaldin Nik Jaafar yang berkata bon jaminan RM3 juta yang diperoleh menerusi bekas Presiden, Tan Sri Annuar Musa hanya membantu urusan pendaftaran pasukan, bukannya membantu pasukan itu terus bersaing.

“Ramai yang salah anggap. Duit RM 3 juta itu untuk pendaftaran sahaja, diletakkan sebagai jaminan. Untuk bersaing kita memerlukan sekurang-kurangnya RM15 juta, malah bermula dari sekarang, kita mesti ada duit yang cukup sekurang-kurangnya RM3 juta di tangan.

“Ini bagi mencari empat pemain import selain membayar gaji pemain untuk dua bulan akan datang (Disember dan Januari). Jadi, KAFA akan memuktamadkan keperluan mendapatkan dana dalam masa dua minggu, jika kita gagal dapatkan penajaan dalam tempoh berkenaan, berkemungkinan kita terpaksa melupakan saingan musim depan,” kata Nik Aminaldin.

Pada hakikatnya, keluhan KAFA mengenai ketiadaan dana sentiasa didendangkan Annuar ketika dia memegang kepimpinan KAFA sebelum ini dan tidak keterlaluan jika dikatakan ianya bersifat lebih mahu menarik perhatian dari kerajaan negeri yang dikatakan tidak pernah membantu menyumbang kepada perkembangan bolasepak negeri itu.

Annuar ketika sidang media pada minggu lalu sendiri menekankan perkara ini, “Kedah, Perak, Selangor mendapat peruntukan kerajaan negeri untuk mempersiapkan pasukan, tetapi di Kelantan saya bergerak sebagai individu. Saya secara keseorangan tidak boleh mengejar kapasiti Kedah, Perak mahupun Selangor, kemampuan saya terbatas.”

Keterbatasan kewangan mengakibatkan Kelantan sejak beberapa tahun kebelakangan ini berdepan masalah lanjutan antaranya tunggakan gaji pemain dan pegawai selain kegagalan menyelesaikan caruman Kumpulan Simpanan Wang Pekerja dan Lembaga Hasil Dalam Negeri.  

Annuar sudahpun menjadi penyelamat sekali dengan menghulurkan bon jaminan kewangan berjumlah RM3 juta menerusi syarikatnya Al-Hamra Group, serta mengusahakan dana untuk membantu menyelesaikan tunggakan gaji pemain beberapa hari lalu.

Justeru dengan tekanan yang menghambat ketika ini, adakah sekali lagi Annuar akan tampil sebagai penyelamat bolasepak Kelantan dan mengangkat dirinya sebagai hero? Kita tunggu dan lihat. 

- Advertisement -