Oleh Muhammad Aiman
Adi Alifuddin Hussin tampil membuktikan dia masih atlet lontar peluru nombor satu negara apabila mengetepikan tentangan sengit pemegang rekod dunia paralimpik, Ziyad Zulkifli untuk memenangi pingat emas di Kejohanan Olahraga Perak All Comers, di Ipoh pada Ahad.
Namun atlet berasal dari Terengganu itu tetap belum berpuas hati dengan catatan lontaran yang dilakukannya – Adi (gambar utama) membuat lontarah sejauh 16.0m pada percubaan kelima untuk menewaskan Ziyad yang terpaksa berpuas hati dengan pingat perak menerusi lontaran sejauh 15.74m.
“Saya rasa saya sepatutnya boleh buat dengan lebih baik. Ia (16.0m) masih terlalu jauh dari rekod saya sendiri jadi sudah tentunya saya tidak boleh gembira dengan lontaran yang dilakukan dan perlu lebih bekerja keras sewaktu latihan.
“Apapun, ini adalah kejohanan pertama saya untuk tahun ini dan fokus saya selepas ini adalah perbaiki beberapa aspek terutama dari segi teknik lontaran. Saya akan cuba yang lebih baik di Kejohanan Terbuka Pahang pada bulan depan,” kata Adi yang merupakan pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 17.53m.
Untuk rekod, Adi yang berlatih di bawah Program Kita Juara berada dalam misi mahu memecahkan badi emas Sukan Sea di Kuala Lumpur 2017 setelah sekadar meraih tiga pingat perak (2009, 2011, 2013) dan gangsa (2015) sepanjang pembabitannya di temasya dwitahunan itu.
Bagi Ziyad, dia mengakui rasa gementar menyebabkannya sedikit hilang tumpuan dan gagal melakukan lontaran yang terbaik namun percaya ia adalah pengalaman berharga buatnya tatkala dia sedang berusaha meyakinkan Kesatuan Olahraga Malaysia bagi membenarkannya beraksi di Sukan Sea KL 2017 bersama atlet normal.