Ketua jurulatih skuad bawah 16 tahun negara, Lim Tiong Kim tidak melihat kehilangan penjaga gol Sikh Izhan Nazrel yang dilayangkan kad merah dipenghujung perlawanan sebagai satu masalah.
Malaysia beraksi dengan 10 pemain selepas Sikh Izhan didapati bersalah melakukan terjahan keras ke atas penyerang Tajikistan, Soirov Rustam di minit 87 sekaligus digantikan dengan kapten, Muhd Hariz Mansor.
Bagi Teong Kim, beliau mempunyai 23 pemain keseluruhan termasuk tiga penjaga gol untuk menggalas cabaran di Kejohanan Bolasepak Konfederasi Asia (AFC) Bawah 16 Tahun.
“Dia (Sikh Izhan) bermain dengan baik. Ketiadaannya bukan satu masalah dan pemain pemain ini akan belajar.
“Kesemua 23 pemain yang saya ada mempunyai kemampuan yang sama rata dan ini adalah peluang untuk pemain simpanan beraksi,”kata Teong Kim.
Sikh Izhan digantung satu perlawanan dan jumlah penggantungan bergantung kepada penilaian pihak terlibat selepas meneliti laporan yang melibatkan insiden layangan kad merah kepada penjaga gol negara itu.
Secara keseluruhan, Lim Teong Kim berpuas hati dengan prestasi pemain pemain dan kemenangan 6-2 yang diraih ke atas Tajikistan dalam aksi pembukaan kumpulan A.
Luqman Hakim Shamsudin muncul pemain terbaik apabila meledak empat gol dimana dua gol terhasil di babak pertama, manakala dua lagi gol dijaringkan di minit ke 46 dan 67.
Manakala dua lagi gol dijaringkan Muhd Najmudin Akmal (minit 37 (penalti), dan Muhd Alif Mutalib (minit 76).
Tajikistan bagaimanapun menjaringkan dua gol menerusi Rahmatov Sharifbek (minit 71) dan Zairov Islom (minit 90+ (penalti).
“Sekarang masa untuk kami meraikan kemenangan hari ini dan esok adalah satu permulaan yang baru untuk pasukan,”kata Lim Teong Kim lagi.
Malaysia akan berdepan Thailand pada Ahad di Stadium Nasional Bukit Jalil. KU MOHD LUFTI