Laluan berliku perlu dihadapi skuad bawah 16 tahun negara dalam misi memburu kedudukan untuk memastikan slot pusingan kalah mati menjadi milik Malaysia dalam saingan kumpulan A di Kejuaraan AFC B16.
Malaysia akur tumpas 2-4 kepada Thailand sekaligus turun ke tangga ketiga selepas dua perlawanan, berkongsi tiga mata dengan Thailand dan Jepun yang menghuni dua tangga teratas.
“Selepas kami bangkit menyamakan kedudukan dua sama, pengadil perlawanan membunuh permainan kami dengan layangan kad merah yang tidak sepatutnya.
“Kami telah melihat ulang tayang. Jika dia (pengadil) faham tentang bolasepak, ia jelas sekali bukan kad merah, seharusnya kad kuning atau mungkin sekadar amaran, tetapi bukan kad merah,”kata Lim Teong Kim.
Omar Mohamed Ahmed Hassan Al Ali menjadi tumpuan pada perlawanan diantara Malaysia dan Thailand dimana insiden terjahan penjaring terbanyak skuad bawah 16 tahun negara, Luqman Hakim Shamsudin di minit ke 50 berakhir dengan layangan kad merah.
Ia berlaku sejurus selepas Malaysia menyamakan kedudukan selepas ketinggalan 1-2 di babak pertama perlawanan.
Kehilangan Luqman jelas sekali dirasai anak didik Lim Teong Kim yang tampak bergelut selain lebih banyak berkampung di kubu pertahanan sendiri untuk menyerap asakan bertubi tubi pihak lawan.
Dari satu aspek, kebangkitan yang dilakukan oleh skuad muda negara sesuatu yang dipuji oleh Teong Kim kerana bagi bekas pengendali akademi Bayern Munich, bukan mudah untuk bangkit selepas ketinggalan diawal permainan.
“Masih belum berakhir lagi. Mereka mampu untuk bangkit dan membuktikan pemain pemain ini mempunyai semangat juang yang tinggi. Hari ini bukan milik kami,”katanya lagi.
Malaysia perlu menang ke atas Jepun pada perlawanan terakhir andai mahu melangkah ke peringkat kalah mati sekaligus menghidupkan peluang untuk memburu slot automatik ke Piala Dunia Bawah 17 tahun di Peru tahun depan. – OLEH KU MOHD LUFTI