Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), YH Dato’ Haji Hamidin Haji Mohd Amin mengalu-alukan kedatangan pasukan di Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Bawah 16 Tahun 2018.

“Bagi pihak FAM, saya ingin mengucapkan selamat datang kepada semua peserta Kejuaraan AFC B-16 bagi edisi ke-18 ini.

“FAM amat berbesar hati kerana diberi penghormatan untuk menjadi tuan rumah selepas sekian lama tidak menganjurkan kejohanan antarabangsa cukup berprestij seumpama ini,” katanya.

Dato’ Haji Hamidin berkata demikian selepas hadir menyaksikan Skuad B-16 menewaskan Tajikistan 6-2 di saingan pembuka tirai, semalam.

“Tahniah buat Skuad B-16 kerana mempamerkan keputusan yang cemerlang tetapi misi Malaysia masih belum berakhir.

“Dengan berbaki dua perlawanan lagi, saya ingin mengingatkan pemain untuk terus fokus dan kekalkan prestasi yang baik,” katanya.

Skuad B-16 akan menentang Thailand, Ahad ini (23 September) dan Jepun 26 September.

Katanya lagi, selama hampir tiga minggu Kuala Lumpur akan menjadi tumpuan di mana 16 pasukan terbaik Asia akan berentap untuk merebut empat tiket ke Piala Dunia FIFA B-17 2019 di Peru.

“Selaku tuan rumah, kita perlu mematuhi standard yang ditetapkan AFC. Untuk memastikan kelancaran kejuaraan ini, semua pemain dan jurulatih juga perlu mempamerkan semangat kesukanan tinggi bagi mengelak sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.

“Kejuaraan ini memberi peluang untuk kami membuktikan kemampuan sebagai penganjur dan pastinya ucapan terima kasih tidak terhingga kepada AFC di atas kepercayaan ini.

“Sekalung penghargaan kami ucapkan kepada Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN), rakan kongsi dan penaja, sukarelawan, serta Jawatankuasa Penganjur Tempatan dan tenaga kerja FAM yang membantu menjayakan kejohanan ini,” katanya.

 

- Advertisement -