Kejohanan bolasepak Persekutuan Bolasepak Asia Tenggara (AFF) Bawah 16 tahun menjadi platform buat pemain pemain Malaysia untuk mempamerkan kemampuan masing masing andai mengidamkan peluang untuk beraksi di Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) September depan.
Raja Azlan Shah Raja So’ib yang diberi peranan untuk mengemudi pasukan B16 tahun negara menjelaskan kejohanan AFF B16 juga akan menjadi penanda aras buat barisan kejurulatihan terhadap pemain pemain yang dibawa.
“Kami mempunyai jumlah pemain yang ramai bagi peringkat umur ini, justeru mereka perlu diberi peluang untuk membuktikan kemampuan masing masing,”kata Raja
Raja Azlan juga tidak meletakka sasaran yang tinggi ketika ini kerana pemain pemain memerlukan masa untuk menonjol.
“Kami juga sedang mempersiapkan diri untuk Kejuaraan AFC B16 yang akan berlangsung di Malaysia pada September depan.
“Sudah tentu kejayaan pasukan bawah 19 tahun negara di kejohanan AFF baru baru ini sesuatu yang baik. Tetapi kami perlu terus melangkah kehadapan untuk membentuk pemain pemain muda ini,”katanya lagi.
Malaysia akan berdepan juara tiga kali, Thailand bagi aksi pembukaan yang dijadual berlangsung pada 30 Julai depan.
Rekod kejuaraan yang dimiliki Thailand turut sama dikongsi satu lagi negara yang sedang meningkat naik, Vietnam yang turut merangkul trofi ketiga selepas melakukannya pada 2006, 2010 dan 2017.
Manakala Malaysia pernah menjulang trofi ini ketika 2003 selepas menang ke atas Indonesia menerusi penalti di Myanmar.