photo – Supakit Wisetanuphong

Dua jaringan Muhd Nabil Qayyum Zainuddin memastikan skuad bawah 15 tahun negara melakar kemenangan selesa 3-1 ke atas Vietnam sekaligus mengesahkan slot ke final Kejuaraan AFF Bawah 15 tahun di Chonburi, Thailand.

Malaysia yang juga juara kumpulan B bagaimanapun berdepan tekanan apabila dibolosi seawal minit ke sembilan apabila gerakan solo Pham Van Phong gagal dihalang pertahanan negara sebelum rembatannya menerjah gawang negara.

Malaysia yang mengalami masalah ketumpulan serangan selepas gaga menjaringkan gol di dua perlawanan terakhir bagaimanapun bangkit lima minit kemudian menerusi penyudah kemas Muhd Nabil Qayyum Zainuddin untuk mengikat kedudukan.

Anak didik P Maniam terus mempamer penguasaan perlawanan yang mantap untuk memburu gol dan usaha itu nyata membuahkan hasil apabila Nabil berada di kedudukan tepat untuk melakar nama selaku penjaring kedua Malaysia di pentas separuh akhir sekaligus meletakkan Malaysia mendahului 2-1 di minit 49.

Tatkala Vietnam leka mengatur gerakan untuk mencari jaringan penyamaan, Muhd Aliff Izwan merentap semangat juang pemain lawan apabila meledak gol ketiga ketika permainan berbaki dua minit menuju penamat sekaligus memastikan slot final menjadi milik Malaysia.

- Advertisement -